NGO Berbai’ah Jangan Sertai Himpunan Bersih

KUALA LUMPUR – Ayahanda-ayahanda dan semua ahli badan bukan keranaan (NGO) di negara ini diingatkan agar tidak terlibat dengan demonstrasi jalanan, Bersih 4.0 kerana jelas menyalahi rukun bai’ah serta lafaz akujanji yang diperjuangkan.

 

Pengerusi Yayasan Ayahanda SeMalaysia (Yas), Syed Husain Al-Shahab berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat ahli NGO berbai’ah berhasrat menyertai perhimpunan itu

 

Menurutnya, sekiranya hasrat berkenaan diteruskan, ia nyata bertentangan dengan perjuangan mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu, tanah air, dan ketaatan kepada ALLAH SWT, Rasulnya Muhammad SAW dan Ulil Amri.

 

“Selagi pemimpin yang dipilih dan dipersetujui secara majoriti itu dapat mengekalkan keamanan, tidak melakukan kezaliman melampau dan masih membenarkan rakyat beribadah dan bersyariat kepada tuhan dan kepercayaan masing-masing, maka pemimpin ini tidak boleh diperangi atau digulingkan secara tidak demokratik.

 

“Mungkin mereka yang berhasrat untuk terlibat ini mendapat penerangan yang salah dan tidak tahu apa matlamat sebenar Bersih 4.0, terpengaruh dengan janji manis, atau mungkin menerima ganjaran,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

 

Syed Husain berkata,  pihaknya tiada halangan terhadap pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin-pemimpin NGO berbai’ah serta ahli terlibat.

 

“Setiap NGO ada peruntukan undang-undang  yang membolehkan ahli dikenakan tindakan dipecat, digantung keahlian ataupun dikenakan tatatertib, jadi NGO perlu ambil tindakan terhadap ahlinya. Yas sendiri pun akan ambil tindakan jika didapati ada ahli terlibat,” katanya.

 

Dalam pada itu, mengulas berhubung penganjuran Bersih 4.0, beliau berkata, ia jelas menunjukkan motif menumbangkan kerajaan dengan cara kekerasan dan tidak demokratik.

 

Menurutnya, tindakan penganjuran itu bukan bersifat bantahan semata-mata tetapi lebih kepada menghuru-harakan keamanan dan menjuruskan negara ke arah kacau bilau berlanjutan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.