Nazir Razak Dilantik Anggotai JKE

PUTRAJAYA – Selepas beberapa kali mengkritik dan melahirkan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi negara, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak kini dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang ditubuhkan kerajaan.

 

Adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu merupakan antara sembilan individu dilantik menganggotai JKE yang berperanan mempertimbangkan perancangan serta-merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan asas-asas ekonomi Malaysia.

 

Ketika mengumumkan senarai anggota JKE, Najib berkata jawatankuasa khas berkenaan turut bertanggungjawab menilai isu-isu semasa termasuk nilai ringgit, mengekalkan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

 

“Keputusan untuk mewujudkan JKE adalah berdasarkan keperluan kerajaan untuk membangunkan dan melaksanakan strategi serta-merta dan pelan tindakam untuk memastikan Malaysia terus dalam pertumbuhannya,” kata Najib pada sidang media di pejabatnya di sini, Rabu.

 

JKE akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

 

Jawatankuasa berkenaan dijangka mengadakan mesyuarat pertamanya pada awal September ini.

 

Turut menganggotai JKE ialah Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Penasihat kepada Suruhanjaya Peraturan Perbankan China, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao serta Pengerusi Eksekutif Symphony Life Berhad, Tan Sri Mohamed Azman Yahya. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.