MB, Exco Pahang Akan Isytihar Harta

Kuantan – Menteri Besar Pahang bersama 12 Anggota Exco Kerajaan Negeri akan mengisytiharkan harta masing-masing sebagai usaha berterusan menangani rasuah.

 

Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pengisytiharaan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin iaitu selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Exco esok.

 

“Kita akan isytihar harta yang kita ada dan mungkin dari semasa ke semasa kalau ada tambahan atau pelupusan harta, kita akan lapor kepada SPRM.

 

“Saya sendiri akan mengemukakan penyata kewangan dan akaun kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan ini mungkin mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu.

 

“Justeru saya harap SPRM dapat memberi masa kepada kerajaan negeri untuk mengisytiharkan harta masing-masing sebagai satu komitmen untuk menangani gejala rasuah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan wacana SPRM Pahang bersama Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator di sini, semalam.

 

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali, Pengarah SPRM Pahang, Datuk Zainul Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, (JKMR) Datuk Fauzi Abd Rahman.

 

Mengulas lanjut, Adnan berkata pada masa kini Exco Pahang merupakan negeri pertama yang mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.

 

“Kita tidak minta pujian mana-mana pihak tapi mungkin kita negeri pertama (isytihar harta)… tapi saya ingat langkah ini boleh menyedarkan masyarakat bahawa kerajaan negeri Pahang, Menteri Besarnya, dan Exconya ada bersama untuk memerangi rasuah,” katanya.

 

Dalam pada itu, Mustafa berkata pihaknya menyambut baik langkah pemimpin kerajaan negeri Pahang yang bersatu dalam memerangi rasuah.

 

“Ini memperlihatkan ketulusan dan integriti yang wujud dalam kerajaan negeri dan perkara ini boleh diperluaskan secara menyeluruh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!