Masih Ramai Orang Melayu Yang ‘Bangsat’ – Ibrahim Ali

Kuala Lumpur – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata walaupun Umno sudah memerintah sejak merdeka, masih ramai lagi orang Melayu yang ‘bangsat’.

 

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada jurang kekayaan antara orang Melayu dan bukan Melayu yang semakin melebar di negara ini.

 

“Orang Melayu pada masa kini hanya layak untuk meminta rumah kos rendah, rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tidak mampu untuk membeli rumah-rumah mewah yang dibina oleh pemaju-pemaju swasta.

 

“Orang Melayu tak mampu nak beli rumah banglo yang dibina syarikat pemaju gergasi seperti Sime Darby dan IOI di Seri Kembangan, Taman Tun Dr Ismail dan Mont Kiara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Bagaimanapun, Ibrahim tidak bersetuju dengan perkataan ‘bangsat’ yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa kelak.

 

Jelasnya, perkataan tersebut tidak sesuai dengan apa yang disampaikan Perdana Menteri sekalipun ia mempunyai mesej tersendiri.

 

“Perkataan tersebut adalah `uncalled for’ dan sekiranya Najib mengatakan bahawa kalau Umno dan BN kalah, keselamatan dan ekonomi negara terjejas adalah lebih tepat.

 

“Ia kerana Umno sudah mempunyai pengalaman berkongsi kuasa dengan parti-parti lain sejak 1957 dan parti pembangkang baru dua penggal bersama sudah berpecah,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.