Lelaki Tertekan Diugut Gambar Bogel ‘Super Impose’

Seorang lelaki berusia 32 tahun hidup dalam keadaan tertekan selepas wajahnya disunting dengan menggabungkan badan lelaki lain dalam keadaan berbogel sebelum diugut untuk disebarkan sekiranya gagal menyerahkan wang.

 

Dalam kejadian jam 2 petang Khamis lalu, mangsa yang bekerja sendiri terkejut apabila satu akaun Facebook (Fb) tidak dikenali dengan nama ‘Keyshin Yeo’, menghantar gambar mangsa dipercayai menggunakan teknik ‘super impose’.

 

Sumber berkata, suspek mengugut menyebarkan gambar mangsa sekiranya dia gagal menyerahkan wang, namun mangsa yang mengesyaki suspek cuba menipunya, mengabaikan mesej itu.

 

“Suspek yang berang berikutan mesejnya tidak berbalas, menghantar satu klip video lucah melalui khidmat pesanan Fb dan video berkenaan juga disunting dengan menampakkan wajah mangsa,” katanya.

 

Menurut sumber itu, suspek memaklumkan akan menyebarkan klip video lucah itu kepada keluarga dan rakannya sekiranya enggan menyerahkan wang dikehendaki.

 

“Bimbang dengan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jelapang dan mahu ia disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

 

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.