KL Jadi Saksi Kejayaan Rundingan RCEP

KUALA LUMPUR – Mesyuarat ke-47 Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) yang baru berakhir, melakar sejarah penting dalam rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) apabila menteri-menteri ekonomi mengetepikan perbezaan untuk mencapai kesepakatan dalam modaliti barangan.

 

Perkembangan terbaharu ini membuka ruang untuk rundingan pusingan berikutnya yang akan berlangsung di Busan, Korea Selatan pada Oktober.

 

Keyakinan juga tinggi bahawa perjanjian itu akan dimuktamadkan menjelang akhir 2015 atau kemungkinan pada 2016 berdasarkan hanya beberapa isu teknikal kecil yang perlu diselesaikan.

 

Berikutan halangan yang dihadapi dalam sembilan rundingan sebelum ini, pihak yang terlibat dalam rundingan itu gagal mencapai kesepakatan.

 

Namun, dalam pertemuan di Kuala Lumpur, mereka berjaya mengatasi halangan meskipun tuntutan negara masing-masing yang berbeza.

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang memain peranan penting dalam merapatkan jurang antara negara yang berunding, menyifatkan kejayaan mesyuarat peringkat menteri RCEP sebagai kejayaan penting kerana jika tidak, rundingan itu tidak akan bergerak ke depan.

 

RCEP yang secara rasminya diilhamkan pada 2012 semasa sidang kemuncak Asean di Kemboja, merupakan rundingan dagangan serantau besar Asia dan rakan serantau yang merangkumi 10 anggota Asean dan rakan dialognya – China, Australia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan India.

 

Pada mesyuarat di Kuala Lumpur, anggota rundingan juga bersetuju menjayakana spirasi untuk memansuhkan tarif sehingga 80 peratus dalam tempoh 10 tahun berbanding 65 peratus yang dipersetuji semasa RCEP ditubuhkan.

 

Maklumat lanjut mengenai kaedah pelaksanaannya akan diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.