Kemalangan Maut Libatkan Dua Kereta MyVi, Kata Saksi

KUALA LUMPUR – Saksi pertama nahas yang me­ragut nyawa pasangan suami isteri serta bayi mereka berusia enam bulan di Lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) Mei lalu memberitahu Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam, berdasarkan maklumat awal kemalangan maut itu melibatkan dua kereta Perodua Myvi dan sebuah kereta pacuan empat roda Pajero.

 

Koperal Ahmad Fauzi Taha, 47, dari Balai Polis Trafik Tun H. S. Lee berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Lans Koperal Zulkifli dari bilik gerakan balai berkenaan berdasarkan maklumat Lans Koperal Amir yang berada di tempat kejadian.

 

Beliau berkata, Zulkifli juga memaklumkan hanya mayat pemandu Pajero berada di tempat kejadian manakala isteri mangsa telah dibawa ke hospital menaiki ambulans sementara anak mereka turut dibawa ke hospital oleh orang ramai yang kebetulan berada di situ.

 

Ketika menjawab soalan pihak pembelaan, saksi yang bertugas sebagai penyelia pejabat bahagian pertanyaan balai itu bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada Amir benar-benar berada di tempat kejadian atau sebaliknya.

 

Ahmad Fauzi juga mengakui maklumat yang diterima dari bilik gerakan hanya memaklumkan mengenai penglibatan bilangan kenderaan tanpa menjelaskan bagaimana kejadian itu berlaku.

 

Dalam kes itu, juruteknik komputer, Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 31, dan Penolong Pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd. Said, 35, yang merupakan pemandu kereta Pe­rodua Myvi sedang dibicarakan atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa.

 

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 12.31 pagi dan 1.05 pagi, 2 Mei lalu di Kilo­meter 6, dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini.

 

Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada dua anak, memandu kereta Myvi bernombor pendaftaran WXE 695 berwarna putih manakala Siti Noor Aini yang merupakan ibu kepada seorang anak, memandu kereta W 5192 F berwarna kuning.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim dan Nadiah Malek Fauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Omar Bakri Ahmad dan S.N. Seelan.

 

Perbicaraan di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan itu bersambung hari ini.

 

Dalam kejadian tersebut, ketiga-tiga mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri maj­lis perkahwinan di Putrajaya, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan sehingga tercampak keluar dari kenderaan mereka.

 

Kemalangan tersebut mendapat perhatian rakyat seluruh negara apabila kes itu dikaitkan dengan tindakan beberapa pemandu Myvi yang didakwa berlumba sesama mereka pada malam kejadian.

 

Pelbagai pihak terutama pengguna laman sosial mendesak pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pemandu-pemandu Myvi itu selain mengutuk tindakan sebuah kelab pemilik Myvi yang mempertahankan pemandu Myvi yang terlibat.

 

Pasangan suami isteri mangsa kemalangan itu mempunyai dua lagi anak perempuan, Nur Firuza Amira, 7, dan adik­nya, Nur Firuza Aqila, 4, yang tidak bersama-sama mereka semasa kejadian. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.