Kalau ‘Bersih’, kenapa enggan ikut peraturan, soal Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan hari ini melontarkan beberapa persoalan terhadap himpunan Bersih 4 yang didakwanya melanggar peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

Katanya, akta itu jelas menyatakan, protes dan demontrasi jalanan adalah dilarang dan kaedah permohonan juga dinyatakan, tetapi rakyat masih dibenarkan berhimpun dalam stadium selepas diluluskan polis.

 

“Hairan… mengapa anda menamakan diri sebagai Bersih? Walhal ianya dipenuhi dengan kaedah yang kotor.

 

“Sekali lagi kami ingin bertanya, jika Bersih itu bersih, mengapa anda tidak mengikut peraturan negara ini?” katanya dalam satu kenyataan di
laman Facebook beliau hari ini.

 

Katanya, himpunan itu akan menimbulkan persepsi negatif kepada pelaburan negara.

 

Ketua Penerangan Umno itu berkata, bukan senang dan bukan sedikit yang diusahakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk menarik pelaburan bagi faedah negara.

 

“Mengapa anda ingin menyusahkan semua rakyat yang ingin menikmati keamanan?

 

“Mengapa anda ingin menyusahkan pemandu teksi, pemandu bas dan orang ramai yang ingin menguruskan keluarga?

 

“Mengapa anda ingin memberikan imej tidak baik di mata dunia seperti yang berlaku dalam siri keganasan demonstrasi jalanan sebelum ini?,” soalnya.

 

Beliau mempersoalkan penganjur yang sengaja memilih untuk tidak berkumpul di stadium kerana katanya, jika di stadium, tiada aksi kawalan polis dan tindakan pencegahan yang boleh di”viral”kan dan disensasikan media untuk disebar ke seluruh dunia.

 

Ahmad juga sangsi sama ada Bersih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) asing ingin menjatuhkan kerajaan secara tidak sah melalui demonstrasi jalanan.

 

“Anda sudah pernah menang di beberapa negeri dalam pilihan raya umum dan menang beberapa pilihan raya kecil.

 

“Jika kaedah pilihan raya di Malaysia ini tidak betul, anda tidak akan dapat 88 kerusi daripada 222 kerusi di Parlimen,” katanya.

 

Katanya, setiap aksi akan berlaku reaksi dan hasrat Bersih untuk melanggar peraturan mengundang gerakan anti Bersih.

 

“Mereka kata jika anda batalkan protes jalanan, maka badan bukan kerajaan (NGO) yang berbaju merah itu juga akan membatalkan hasrat mereka.

 

“Ramai berharap agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan perlu. Ingatlah pesanan mencegah itu lebih baik daripada mengubat,” katanya. –Malaysia Insider.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.