‘Jangan Terpedaya Dakyah RM Tak Laku Di Tanah Suci’

JERANTUT – Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin kononnya Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.

 

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, jemaah haji tidak perlu panik dengan laporan yang tersebar dalam laman sosial itu, kerana maklumat itu tidak benar sama sekali.

 

“Maklumat yang terdapat dalam media sosial menyatakan duit kita tak boleh ditukar, tak boleh diguna pakai, itu satu perkara palsu.

 

“Saya telah berhubung dengan Pengarah Operasi Tabung Haji awal pagi tadi (yang berada di tanah suci) dan beliau menyatakan tiada masalah mengenai perkara itu.

 

“Duit kita, walaupun duit kecil RM10, RM5, dia orang pun ada (untuk ditukar),” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga jemaah haji Allahyarhamah Zaleha Yasin di Kota Gelanggi 4, hari ini.

 

Turut hadir adalah Ahli Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Shukor Husin dan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris yang turut menyertai majlis tahlil Allahyarhamah Zaleha, 63, yang meninggal dunia di Madinah.

 

Allahyarhamah Zaleha yang tiba di Madinah bersama suaminya, Jaafar Deran, 73, pada 18 Ogos lalu, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Isnin lalu.

 

Arwah yang sebelum itu mengadu sakit dada, dibawa ke Klinik Kesihatan TH untuk mendapat rawatan, sebelum dirujuk ke Hospital King Fahd, Madinah, pada Khamis lalu.

 

Dalam pada itu, Abdul Azeez turut menyangkal dakwaan kononnya kejatuhan nilai ringgit telah menyebabkan pengurup wang di Makkah, Jeddah dan Madinah tidak mahu menerima mata wang Malaysia.

 

“Jangan sebar perkara tidak betul, saya faham kadang kala mereka nak kongsi informasi yang diterima melalui telefon bimbit, tapi sekiranya tidak sahih, jangan kongsi,” katanya.

 

Jemaah haji turut diingatkan tidak membawa duit yang banyak, sebaliknya menyimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing, kerana ia lebih terjamin.

 

Beliau berkata, setiap jemaah haji boleh mengeluarkan simpanan sehingga RM10,000 sehari, menerusi kaunter yang disediakan Tabung Haji di maktab penginapan masing-masing.

 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

 

Katanya, penerbangan akhir jemaah haji ke tanah suci dijadualkan pada 16 September ini. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.