Idris Jala Bukan Menteri Lagi

Kuala Lumpur- Datuk Seri Idris Jala tidak lagi menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas tempoh dua penggalnya sebagai senator buat kali kedua, berakhir hari ini.

 

Dia membuat kenyataan berhubung perkara itu di akaun Twitter miliknya hari ini dengan berkata: “Hari ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir saya.

 

“Perlembagaan mengehadkan tempoh selama enam tahun sebagai senator/menteri. Saya akan meneruskan sebagai CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Pemandu,” menurut tweet Idris sambil merujuk kepada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.

 

Barisan ahli politik termasuk daripada pembangkang membalas posting, dengan mengucapkan terima kasih kepada Idris untuk perkhidmatan yang disumbangkan sepanjang tempoh itu.

 

Naib Presidean PKR, Tian Chua dalam tweet kepada Idris berkata: “Terperasan daripada tweet #Khairykj: @Idris Jala mengakhiri tempohnya sebagai senator dan tidak lagi berada di dalam Kabinet. Terima kasih di atas usaha kamu membawakan pembaharuan.”

 

Chua merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang berkata: “Satu penghormatan dapat berkhidmat bersama kamu di Kabinet. Gembira kamu terus kekal di Pemandu. Akan merindui kamu di Kabinet nanti!”

 

Rakan seangkatan Idris, Datuk Paul Low Seng Kuan turut mengambil peluang menghantar ucapan menerusi laman Facebook miliknya yang dalam statusnya berkata: “Sangat istimewa dapat berkhidmat dengan YBhg Datuk Seri Idris Jala di Kabinet sejak beberapa tahun ini, dan saya bersyukur terhadap semua usaha dan pengorbanan peribadinya dalam menyediakan asas komprehensif bagi pembangunan negara, di mana kami akan terus membina dan memajukannya.”

 

Idris dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada September 2009.

 

Pemandu memulakan operasinya pada tahun sama, dipertanggungjawabkan mengetuai Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

 

Idris juga baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Peribadi (JKNMPP) yang baru ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.