Doktor Rakam Gambar Selfie Mengaibkan Pesakit Boleh Disaman

PUTRAJAYA – Suami atau ahli keluarga kepada pesakit wanita yang dirakam gambar oleh seorang doktor ketika menerima rawatan di salah sebuah hospital di Johor Bahru boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pengamal perubatan tersebut.

 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyifatkan perbuatan itu sa­ngat menjijikkan berkata, tindakan tersebut telah mengaibkan maruah wanita terbabit apabila gambar itu turut menampakkan bahagian sulitnya.

 

“Gambar itu kemudian disebarkan menerusi laman sosial, sekali gus boleh memalu dan menjejaskan imej pesakit wanita terbabit.

 

“Selain menyalahi etika sebagai pengamal perubatan, doktor dan kakitangan pada waktu tersebut tidak wajar merakam gambar kerana mengundang pelbagai tanggapan negatif kepada hospital,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita di sini hari ini.

 

Beliau mengulas tindakan seorang doktor wanita di salah sebuah hospital di Johor Bahru yang merakam gambar secara selfie sambil menunjukkan isyarat peace dengan pesakit itu dalam posisi terkangkang hendak bersalin.

 

Perbuatan itu telah mengundang kemarahan orang ramai terutama­nya pengguna laman sosial yang turut mengecam aksi merakam gambar tersebut.

 

Pada masa sama, Rohani meminta orang ramai agar tidak menyebarkan gambar tersebut kerana boleh terus memalu dan meng­aibkan maruah pesakit wanita berkenaan.

 

Katanya, tindakan menghentikan penyebaran gambar itu dilihat lebih baik dan mulia demi menjaga maruah wanita berkenaan walaupun tidak mempunyai berniat untuk memburukkan imej mangsa.

 

“Orang ramai kini suka mensensasikan sesuatu berita termasuk perbuatan menyebarkan gambar yang luar biasa.

 

“Bayangkan sekiranya perkara ini berlaku pada diri sendiri, mungkin kita turut berasa malu seperti dialami wanita terbabit,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.