Bersih 4.0 
Pertubuhan Haram – KDN

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri menasihatkan orang ramai supaya tidak hadir dan menyertai perhimpunan yang akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini.

 

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati Bersih 4.0 bukan sebuah pertubuhan berdaftar dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.

 

“Kita juga mendapati Bersih 4.0 bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan keturunan.

 

“Selain itu, pertubuhan tidak berdaftar ini turut menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

 

Menurut Alwi, pihaknya turut mendapati pelbagai kegiatan yang dianjurkannya bukan sahaja telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara.

 

Pada masa sama katanya, kegiatan pertubuhan yang tidak berdaftar itu juga boleh menjejaskan keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, perhimpunan Bersih 4.0 diisytiharkan sebagai perhimpunan haram selepas penganjurnya gagal mematuhi peruntukan yang diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

Menurut beliau, perkara itu diputuskan termasuk mengambil kira penganjur gagal mendapatkan kelulusan daripada pemilik lokasi berkenaan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 Beliau memberitahu, polis tidak mempunyai masalah membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium yang dicadangkan DBKL.

 

“Bersih 4.0 adalah haram dan sekiranya ia diteruskan tindakan tegas akan diambil berdasarkan akta sedia ada

 

.
 “Amaran telah diberikan kepada umum agar tidak menyertai perhimpunan itu. Perhimpunan sememangnya dibenarkan, tetapi ia perlu dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

 

Mengulas lanjut, Tajudin memberitahu, polis akan memantau setiap ucapan yang dibuat pada perhimpunan itu terutamanya kenyataan yang memberi kesan kepada demokrasi berparlimen serta menggugat ketenteraman awam.

 

“Kami akan bekerjasama dengan DBKL dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.