17 Peserta #LangkahSiswa Direman

Kuala Lumpur – Seramai 16 pelajar dan seorang aktivis dari kumpulan #Langkahsiswa ditahan reman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

 

Semua yang ditahan termasuk 14 lelaki dan tiga wanita.

 

Ketua Polis Daerah Sentul Assisten Komisioner R Munusamy berkata, semua mereka ditahan kira -kira jam 10 malam tadi selepas enggan bersurai di hadapan bangunan Parlimen.

 

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai mengarahkan kumpulan tersebut beredar kerana berada kurang daripada 50 meter dari kawasan Parlimen.

 

“Tindakan mereka menyalahi undang-undang dan ketika tangkapan terdapat kira-kira 25 orang berada di situ.

 

“Polis mengarahkan peserta untuk naik ke dalam trak, namun mereka enggan menyebabkan beberapa orang terpaksa digari dengan menggunakan pita pengikat,” katanya kepada The Rakyat Post, hari ini.

 

Kumpulan tersebut mengadakan protes duduk di luar perkarangan Parlimen bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berundur ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.

 

Difahamkan, semua yang ditahan di siasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.