Uruskan Jenazah MH17 Tidak Semudah Yang Disangka

Putrajaya  – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyifatkan tugas menguruskan jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 sukar dan tidak semudah yang ditonton dalam televisyen ketika Hari Perkabungan Negara, Jumaat lalu.

Menceritakan semula pengalaman berhubung dengan keluarga mangsa tragedi itu, Rohani berkata, beliau yang mengetuai pasukan bagi menjaga kebajikan waris mangsa MH17 bukan sahaja pernah kehilangan kata-kata ketika berhadapan keluarga mangsa, malah, pernah dimarahi kerana terdapat waris yang tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan jenazah terbabit.

“Kita tengok dalam televisyen semuanya berjalan lancar tetapi sebenarnya bukan mudah untuk berhubung dengan waris, misalnya bagaimana hendak uruskan jenazah kerana ada yang marah-marah tetapi kita beritahu soalan ini terpaksa dijawab sebab perlu sediakan logistik untuk bawa pulang mayat dan di mana jenazah mahu diuruskan sama ada di Malaysia atau Amsterdam.

“Malah saya sendiri sewaktu menaiki Charlie C-130 kena marah dengan waris mangsa sebab ada perkara yang tidak mengikut susunan jadi yang kena marah adalah kita tetapi terima saja sebab ini sesuatu yang kita buat dan mereka tidak akan marah kalau tiada yang hendak diluahkan,” katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Rohani, pihaknya juga terpaksa berdepan cabaran apabila terdapat waris keluarga mangsa yang langsung tidak mahu diganggu dan kerajaan menurutinya sebagai menghormati permintaan keluarga.

Selain itu, Rohani berkata, pihaknya juga terpaksa mengikut budaya waktu kerja yang tegas di Belanda hingga menyebabkan proses mengenal pasti mangsa nahas pesawat MH17 lewat dilakukan.

“Ada orang bertanya mengapa semua jenazah ini tidak dibawa balik sekali sebenarnya di Belanda kita ada proses yang perlu dilalui iaitu pertama mengenal pasti mayat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kemudian proses dokumentasi memerlukan tempoh seminggu.

“Tetapi yang menyebabkan keadaan menjadi lewat apabila kesatuan sekerja di sana terlalu kuat biarpun kita menghantar ramai pakar forensik kita tetap perlu mengikut waktu kerja mereka iaitu Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang jadi proses yang sepatutnya sekejap menjadi lambat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada petugasnya yang sanggup bertugas selama 24 jam setiap hari bagi menenangkan keluarga mangsa dan membantu memudahkan urusan mengendali jenazah sehingga semuanya berjalan lancar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.