Tindakan Sultan Betul, Selaras Dengan Perlembagaan

Shah Alam – Datuk Seri Noh Omar berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil tindakan yang betul mengikut dasar Perlembagaan Persekutuan apabila menitahkan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memberi lebih daripada dua nama calon menteri besar bagi menyelesaikan krisis politik dalaman negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata, sememangnya Sultan Selangor mempunyai kuasa dalam memperkenankan calon menteri besar seperti mana yang berlaku di negeri lain sebelum ini.

“Ini bukan satu perkara baru. Tindakan Sultan itu betul dan selaras dengan Perlembagaan. Sultan mempunyai kuasa memilih menteri besar yang difikirkan dapat berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

“Malah, ia pernah berlaku di Perlis apabila bekas menteri besar ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak mendapat perkenan Sultan untuk terus mengekalkan kedudukannya,” katanya.

Noh berkata situasi sama juga berlaku di Terengganu pada bulan Mei membabitkan pelantikan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebagai menteri besar baru bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Sultan Selangor menangguhkan peletakan jawatan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga pelantikan menteri besar baru selesai dan meminta setiap parti dalam PR memberi lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.