Tidak Patut Perkecil Istiadat Penghormatan Jenazah

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tindakan segelintir individu memperkecilkan peranan kerajaan dalam Istiadat Penghormatan Jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan Hari Perkabungan Negara pada Jumaat lepas, adalah tidak patut.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah terbaik bagi menguruskan tragedi penerbangan MH17 yang menimpa negara dan sekurang-kurangnya apa yang dilakukan dapat membantu meringankan beban yang dipikul anggota keluarga dan waris mangsa.

“Sepatutnya (sebagai seorang warganegara) kita turut merasai kesedihan anggota keluarga dan waris…tetapi malangnya (ada) segelintir pihak yang sentiasa mempunyai sifat hasad dengki (dengan membuat tohmahan sebegitu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pelancaran Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (Santun) Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim) Berhad di Kuala Lumpur, malam tadi.

Setakat ini 24 jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 dibawa pulang ke Malaysia sehingga semalam dan dua daripadanya tidak didedahkan identiti atas permintaan keluarga.

Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah mangsa MH17 diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.