Perhubungan Pas Wilayah Desak ‘Pengkhianat’ Dikenakan Tindakan Segera

Petaling Jaya – Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad mendesak agar tindakan segera diambil dibawah fasal 82 Perlembagaan PAS ke atas dua orang ADUN dari parti tersebut yang bertindak membelakangi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama berkenaan isu Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, langkah ini penting bagi mengelakkan virus ‘aids haraki’ ini terus merebak dalam gerakan Islam PAS.

Kedua-dua ADUN yang dimaksudkan adalah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin.

“Mereka berdua telah bertindak mengkhianati keputusan parti dengan bertindak memberikan sokongan yang ditafsirkan secara langsung atau tidak langsung menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan melalui Mesyuarat Perhubungan PAS Kali ke-8, bertarikh 25 Ogos 2014 telah memutuskan untuk mengemukakan aduan rasmi kepada PAS Pusat berkenaan isu dua ADUN tersebut.

Katanya lagi, kedua-dua ADUN tersebut telah melanggar serta bertindak menderhakai secara sengaja keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang merupakan institusi teras kepada Parti Islam SeMalaysia, PAS.

Selain itu, secara literal dan teknikalnya, telah memberikan wala’ kepada institusi yang bukan daripada PAS dalam suasana PAS memerlukan sokongan padu dari seluruh ahlinya.

“Bahkan, mereka juga turut bertindak biadap terhadap PAS dengan memberikan kenyataan yang secara teknikalnya merupakan satu ugutan untuk keluar dari parti sekiranya parti tidak mengikut kemahuan mereka.

“Ianya merupakan satu penghinaan kepada parti PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Mursyidul Am dan Datuk Seri Presiden PAS.

Bukan itu sahaja, sikap mereka berdua merupakan satu ‘precedent’ yang tidak baik dan boleh mengundang bencana kepada Gerakan Islam PAS yang sememangnya amat menitikberatkan soal tarbiah sebagai teras perjuangannya.

“Ianya boleh mencorakkan teladan yang tidak baik kepada generasi selepas ini sekiranya tidak ada tindakan yang keras dan signifikan diambil,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.