Najib Ajak Warga Felda Lakukan Transformasi Minda

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengajak warga Felda melakukan transformasi minda untuk memastikan Felda terus kekal bersaing dalam era globalisasi.

Beliau berkata, kini warga Felda mencecah hampir 1.5 juta di seluruh negara, maka adalah penting untuk memastikan sumbangan Felda terus meningkat sejajar dengan perkembangan semasa.

“Banyak negara hendak buat seperti yang dilakukan Felda tetapi tidak berjaya maka bolehlah dikatakan revolusi daripada segi pembahagian tanah yang berjaya di dunia ialah melalui konsep pembangunan Felda.

“Sejak 58 tahun sehingga kini Felda terus berkembang dan kini warganya mencecah 1.5 juta. Itulah kisah Felda, jadi kini ada cabaran baharu iaitu transformasi minda dalam era globalisasi selain merangka strategi baharu,” katanya pada Majlis Aidilfitri dan Salam Perantauan Warga Felda di Putrajaya.

Hadir pada majlis itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Perdana menteri berkata, antara strategi baharu itu ialah sebagaimana yang diumumkan pada sambutan Hari Peneroka ke-58, Ahad lepas iaitu menjadikan Felda sebagai ‘kuasa ekonomi’.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan terus berusaha merangka strategi baharu yang lain untuk membantu kejayaan Felda.

“Misalnya esok saya dan menteri pertanian dan industri asas tani akan ke Singapura untuk pelancaran Agro Bazar untuk membuka outlet menjual buah-buahan dan produk hasil keluaran luar bandar di negara itu kerana harga di sana jauh lebih tinggi, itulah antara strategi baharu kita,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata pihak Seranta Felda pula perlu mengumpulkan semua pangkalan data warga Felda untuk memudahkan usaha meningkatkan lagi peranan warganya terutama dalam kalangan anak-anak Felda.

“Mereka yang tiada atau sudah keluar daripada Felda perlu dikumpulkan data mereka. Misalnya di Lembah Klang terdapat lebih 50,000 warga Felda, supaya dengan cara itu kita akan sentiasa dapat berhubung,” katanya.

Pada majlis itu perdana menteri turut menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi-pengerusi Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof).

Gaprof adalah cetusan idea perdana menteri sebagai wadah untuk menggembleng idea segar dan bernas yang boleh dimanfaatkan kepimpinan dan pengurusan Felda dalam merangka tindakan yang progresif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.