Kenyataan ‘Celaka UMNO’: Rayer Akan Didakwa Esok

Butterworth – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer akan didakwa atas tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang esok kerana mengeluarkan kenyataan “celaka Umno” terhadap beberapa ahli Umno semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu.

“Seorang inspektor polis menghubungi saya pada jam 1:05 petang ini, meminta saya berada di mahkamah esok jam 8.30 pagi. Saya dimaklumkan saya akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan,” kata Rayer.

Difahamkan Adun DAP dua penggal itu akan didakwa berkaitan kenyataan kontroversinya “celaka celaka Umno” yang dibuat pada 20 Mei dalam usul terima kasih kepada ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Tun Dr Abdul Rahman Abbas.

Rayer berkata, beliau tidak terkejut dengan perkembangan terkini itu.

“Saya akan ke mahkamah dan menghadapinya. Saya sudah bersedia. Saya mesti bersedia.

“Saya tidak terkejut. Saya sudah menjangkanya. Ini tidak mengejutkan dalam senario politik kita sekarang,” katanya.

Rayer akan menjadi ahli politik pembangkang yang keempat dikenakan tindakan berkaitan kenyataan berunsur hasutan dan fitnah dalam masa seminggu ini.

Beliau sepatutnya didakwa pada 19 Jun tetapi Pejabat Peguam Negara mengarahkan tidak mendakwanya hingga diberitahu kemudian.

Peguamnya, Gobind Singh Deo berkata, tiada alasan diberikan untuk penangguhan itu.

Perkataan “celaka celaka Umno” yang dibuatnya itu membangkitkan kemarahan sehingga sekumpulan ahli Pemuda Umno melakukan protes menceroboh bangunan DUN Pulau Pinang pada keesokan harinya.

Kejadian pencerobohan itu, pertama kali terjadi di negara ini, menyebabkan Barisan Nasional dan Umno menerima kritikan pelbagai pihak.

Beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat didakwa atas tuduhan menghasut dengan yang terbaru, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini kerana kenyataan yang dibuatnya terhadap Sultan Selangor.

Naib presiden PKR N Surendran didakwa pada 19 Ogos kerana kenyataannya berkaitan kes Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, daripada PAS, didakwa semalam kerana dikatakan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu ucapan dua tahun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.