Anwar Dakwa Sultan Selangor Perkenan Permohonan Azizah Untuk Mengadap

Shah Alam – Presiden PKR Datin Dr. Seri Wan Azizah Wan Ismail dijangka menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.

Menurut portal Keadilan Daily, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu media di luar Mahkamah Kuala Lumpur, Sultan Selangor dijangka berkenan menerima Wan Azizah untuk menghadap selepas baginda selesai bertemu dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar berkata mereka telah menghantar surat permohonan kepada istana minggu lalu.

“Pihak istana mengaku menerima surat berkenaan, tetapi Sultan perlu menurut protokol untuk bertemu dengan MB dahulu sebelum Wan Azizah,” kata Anwar seperti yang dipetik portal berkenaan.

Anwar, bagaimanapun mengaku tidak tahu masa yang ditetapkan pihak istana untuk berjumpa dengan Wan Azizah.

Media melaporkan bahawa Abdul Khalid akan menghadap Sultan esok untuk mendapatkan nasihat mengenai isu MB Selangor.

Sumber mendedahkan Abdul Khalid mungkin menghadap Sultan di Istana Kayangan tetapi lokasi sebenar belum diketahui kerana ada beberapa istana di Selangor.

Awal bulan ini, Wan Azizah tidak mendapat perkenan menghadap Sultan. Menurut laporan sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang itu mahu memberi penerangan mengenai krisis MB.

Isu jawatan MB Selangor bertukar krisis selepas PKR membuat keputusan untuk menamakan Wan Azizah sebagai pengganti Khalid Ibrahim. Abdul Khalid enggan menurut kehendak parti dan menyebabkan dia dipecat daripada PKR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.