Tangani Segera Isu Peletakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah, Elak Jejas Keyakinan Pelabur – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Pembangkang mahu kerajaan menangani isu peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) secepat mungkin agar portfolio pelaburannya tidak terjejas dan menipiskan keyakinan pelabur asing yang beransur pulih.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya bimbang dengan kedudukan portfolio pelaburan asing dan kedudukan puluhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Khazanah.

“Pembangkang bimbang jika penyusunan syarikat di bawah Khazanah akan mengalami kemelut berikutan langkah tegas memecat dan memaksa pegawai tinggi lantikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu meletak jawatan.

“Walaupun ia dilihat akan membuka peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan sekarang, kerajaan juga boleh melantik orang pilihan mereka sendiri untuk menggantikan yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pihak pembangkang tidak menyenangi situasi itu kerana semua individu terbabit berkhidmat dengan cemerlang dan menyumbang ke arah kejayaan syarikat.

Katanya, portfolio pelaburan Khazanah boleh terjejas jika lantikan ahli lembaga pengarah dibuat secara “tangkap muat” dan berbaur politik tanpa mengutamakan prinsip korporat yang baik.

“Jika diteliti kebolehan semua ahli lembaga pengarah, mereka ini benar-benar menerajui Khazanah dengan pengalaman dunia korporat seperti bank perdagangan serta Bank Negara Malaysia (BNM).

“Oleh itu, pembangkang berharap kerajaan mencalonkan barisan yang setaraf ataupun lebih baik agar iklim pelaburan tempatan dan pelabur asing khasnya, tidak terganggu.

“Sebagai contoh, Khazanah memiliki sejumlah pegangan dalam Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Axiata Group, CIMB Group, Malaysia Airports Holdings, IHH Healthcare dan Malaysia Airlines (MAS) yang dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada kaunter di Bursa Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid juga melahirkan kebimbangan dengan projek ‘sovereign wealth fund’ di Singapura melalui usaha sama dengan Temasek Holdings untuk pembangunan enam fasa pembangunan hartanah di republik itu, termasuk Marina One and Duo yang membabitkan Khazanah.

“Tatkala hubungan dengan Singapura terjejas berikutan pembatalan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), sebarang perkembangan dalam Khazanah akan memberi kesan lanjut kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan republik itu,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Khazanah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof, menawarkan untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada kerajaan baharu memutuskan kepimpinan dan hala tuju syarikat pelaburan kerajaan itu.

Pengarah lain ialah Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengkritik Khazanah Nasional kerana menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya untuk membantu Bumiputera.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, meletak jawatan secara rasmi sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) hari ini.

Beliau memaklumkan keputusan berkenaan dalam satu temu bual bersama akhbar Sin Chew Daily dan memberitahu surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada syarikat itu pada 17 Julai.

Bagaimanapun, alasan Khalid meletak jawatan tidak dinyatakan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.