Video : ‘Armada Macam Bacul!’ Kata Razlan

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno Wilayah, Datuk Razlan Rafi menyifatkan Pemuda (Angkatan Bersatu Anak Muda) Armada Bersatu Parti Pribumi Bersatu (PPBM) sebagai bacul kerana datang di luar pusat beli belah Sunway Putra Mall bukan hanya mahu menyerahkan memorandum tetapi sengaja membawa plakad untuk mencetuskan provokasi.

Beliau berkata, kejadian pada Selasa adalah cubaan provokasi yang dirancang daripada pemuda parti itu di media sosial sebelum hadir ke tempat itu, semalam.

“Sebenarnya mereka telah bertindak membuat provokasi terlebih dahulu di media sosial dan berniat mahu mencabar pemuda Umno.

“Mereka kata mahu datang seramai 150 tapi yang datang hanya 25 orang dan terus membuat provokasi,”katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menyifatkan pemuda Armada sebagai bacul kerana mahu menyerahkan memorandum pada hari cuti, Razlan berkata pihaknya sudah meminta mereka segera beredar sebelum tercetusnya insiden tersebut.

“Mereka datang nak serah memorandum macam bacul masa orang tengah bercuti. Kami beritahu tak boleh kerana orang sedang bercuti namun mereka terus sahaja membuat provokasi,”katanya.

Tambahnya, menerusi insiden tersebut menunjukkan pemuda parti itu bertindak sebagai samseng dan pihaknya hanya menjaga maruah parti dan bertindak mengelakkan kejadian buruk berlaku seperti kehadiran Adam Adli sebelum ini (menurunkan bendera).

“Kami perlu jaga maruah parti. Kejadian tersebut hampir sama dengan kejadian Adam Adli yang datang ke PWTC untuk menurunkan bendera.

“Kita mahu mengelakkan kejadian seperti ini berlaku,”katanya.

Sehubungan itu, ditanya berhubung pemuda Armada yang membuat laporan polis mendakwa diri mereka ditumbuk, Razlan meminta kemukakan bukti itu terlebih dahulu.

“Kemukakan bukti itu dulu. Jika benar, baru kami akan minta maaf,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak berbuat sebarang kesalahan jesteru pihaknya tidak perlu membuat sebarang laporan polis berhubung insiden itu.

“Kami tak buat apa-apa salah. Kami tak menyerang dan tak berbuat kesalahan. Jadi untuk apa kami perlu membuat laporan polis?,”soalnya.

Semalam, penyokong UMNO menghalang pemuda Armada untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri selepas dipercayai pihak itu membuat provokasi di luar pusat beli belah.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.