Teruskan Legasi Lagu Popular

DUNIA muzik tanah air tidak pernah ketandusan lagu hebat dan mampu menarik perhatian pendengar. Ditambah dengan kehadiran ramai komposer berbakat besar yang masih muda dan segar, pastinya kelebihan itu memberi peluang dan ruang untuk mereka berkarya dengan lebih kreatif.

Meneruskan legasi melodi indah yang pernah dicipta sebelum ini seperti Kerana Cinta nyanyian Nazim Othman dan juga Seperti Dia, dendangan Cassidy, trio hebat, Hael Husaini, Ezra Kong dan Mike Chan sekali lagi bergabung tenaga menghasilkan lagu Nisan Cinta yang menyaksikan paduan suara dua pemilik vokal ampuh, Siti Nordiana dan Jaclyn Victor.

Lebih menarik, lagu yang dihasilkan di bawal label Raksasa Records ini juga terpilih untuk dijadikan lagu teledrama berjudul Dendam Aurora, yang mula bersiaran pada 25 Julai depan. Drama hasil lakonan Nabila Huda, Ungku Ismail Ungku Aziz dan Anzalna Nasir itu akan disiarkan untuk slot Tiara di Astro Prima & Maya HD, setiap Isnin hingga Jumaat, selama sejam bermula bermula jam 6 petang.

Bayangkan bagaimanakah hasilnya apabila Jaclyn atau Jac dan Siti Nordiana atau Nana bergabung melantunkan sebuah untaian indah hasil nukilan komposer yang bukan calang- calang, tentunya hasil yang kedengaran sangat mengagumkan. Baik Jac atau Nana, kedua- dua memberi justifikasi terhadap lagu berentak waltz itu.

Berkongsi pengalaman tatkala merakamkan lagu itu, Nana mengakui kelainan yang ada pada melodi lagu itu membuatkannya bersetuju merakamkan lagu itu.

“Sebaik saja mendengar melodi dan liriknya, hati saya terus bersetuju merakamkan lagu itu. Melodi lagu ini sangat kuat dan liriknya juga sangat mendalam. Dengar demo saja saya dapat rasakan kelainan yang ada pada melodinya.

Dapat pula bekerja dengan Jac, lagilah meyakinkan untuk saya terima tawaran yang diberikan kerana kita tahu kuasa vokal beliau yang saya pasti dapat menyedapkan lagi lagu ini,” kata Nana yang juga bekas juara program realiti Gegar Vaganza musim kedua ini.

Belum berpeluang berpadu suara dengan penyanyi wanita lain untuk lagu baru, Nana berkata, projek Nisan Cinta ini juga cabaran buatnya.

“Sebelum ini Nana pernah berduet dengan Syura, tetapi lagunya lebih tradisional dan Nana sudah biasa dengan genre tersebut. Bila dikehendaki merakamkan lagu waltz, pastinya pembawakannya lain sedikit. Orang mesti ingat bila membabitkan kami berdua, pasti ada nada tinggi.

“Memang ada bahagian kami kena menyanyikan nada tinggi, tapi ia bukanlah sekadar tarik suara saja. Kami kena pastikan, suara kedengaran harmoni. Justeru, bahagian saya, walaupun tinggi tetapi perlu ada kelembutannya manakala bahagian Jac, lebih power,”ujarnya.

Untuk menghayati liriknya, Nana berkata, selain berdasarkan cerita dan gambaran yang diberikan komposer, dia juga membuat kaji selidik sendiri seperti melihat laman sosial Nabila untuk melihat klip-klip pendek drama terbabit yang sudah pun dirakamkan aktres berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya proses rakaman dijalankan, Jac yang juga bekas juara program realiti Malaysian Idol musim pertama memberitahu, ia dibuat berasingan.

Mengakui sangat berpuas hati dengan hasilnya, Jac menaruh keyakinan tinggi lagu itu mampu pergi jauh serta mendaki carta populariti.

“Memandangkan ia dijadikan lagu runut bunyi untuk teledrama dan ruang promosi yang diberi sangat besar, saya yakin lagu ini pasti hits,” ujar penyanyi bersuara lantang ini.

Dibalut dengan ritma yang menyentuh perasaan dan diiringi melodi piano dan gesekan biola, Jac dan Nana melantunkan setiap bait-bait lirik dengan penuh jiwa dan dapat dirasa menusuk dalam hati sekali gus membuat pendengar larut dengan emosi yang dicipta kedua-dua wanita ini.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.