Saleha Kurang Jumpa Tunang Menjelang Hari Nikah

KUALA LUMPUR: Beberapa minggu terakhir sebelum bergelar isteri, pelakon Siti Saleha mengakui mengikut ‘pantang’ orang lama supaya tidak kerap berjumpa bakal suami.

Aktres jelita itu bakal menamatkan zaman bujangnya bersama pilihan hati, Lutfi Azhar, 31, di Bukit Kiara, Jumaat ini.

“Ada orang tua menasihati kami supaya jangan terlalu kerap bertemu pada minggu terakhir sebelum bernikah. Kata mereka, kena juga berpantang untuk menjaga seri bakal pengantin perempuan, selain mengelak perkara tidak elok berlaku.

“Jadi, saya turuti saja nasihat mereka. Tiada salahnya kalau kita ikut perkara yang baik. Lagipun, ia untuk kebaikan diri sendiri, bukan untuk orang lain.

“Sekarang memang kami kurangkan berjumpa menjelang hari bahagia. Tidak mengapalah setakat menanggung rindu sikit-sikit, untuk beberapa hari saja lagi,” katanya kepada BH Online.

Kata Saleha, 27, selepas berumah tangga nanti, mereka akan tinggal bersama juga.

“Jadi, apa salahnya kalau kita ‘berpantang’ sikit. Begitupun, kalau ada hal penting yang tidak boleh dielakkan, kami kena berjumpa juga. Situasi begitu tidak dapatlah nak elak,” kata pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu.

Menjelang hari bahagiannya juga, pemilik nama penuh, Siti Saleha Mohd Baharom, ini berkata dirinya berdepan debaran yang berbeza.

“Perasaannya memang tidak sama seperti debaran menanti pengantin lelaki dalam drama lakonan saya sebelum ini. Perasaannya sangat berbeza kali ini.

“Harapnya semua akan berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya yang mengikat tali pertunangan dengan Lutfi pada 26 November tahun lalu.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.