Rombongan Misi Kemanusiaan Malaysia Akhirnya Berjaya Masuki Masjid Al-Aqsa

Rombongan media Perak yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berjaya memasuki Masjid Al-Aqsa dan bersolat magrib di situ.

Menurut Akmar Hisham, hanya 21 orang termasuk 14 anggota rombongan tersebut yang bersolat di dalam masjid berkenaan sedangkan kebiasaannya 500 hingga 1,000 jemaah akan menunaikan solat lima waktu manakala bagi solat Jumaat pula mencecah lebih 100,000 jemaah.

“Ketika berada di masjid berkenaan, kami bertemu dengan seorang lelaki berusia 79 tahun, Isa Mohammad Hassan yang setiap hari akan ke masjid terbabit untuk menunaikan solat fardu.

“Kami bertanya kepada Isa kenapa tidak turut serta dalam protes bersama rakyat Palestin yang lain? Isa memberitahu, beliau tidak sanggup untuk melihat tiada seorang pun umat Islam solat di masjid itu waima walaupun kerana protes terhadap Israel,” kata Akmar menerusi catatan dalam Facebooknya.

Akmar mengetuai rombongan 27 peserta dari Malaysia untuk program Misi Kemanusiaan dan Pertukaran Budaya Media Malaysia-Jordan. Program tersebut berlangsung mulai Ahad lalu dan berakhir Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Akmar berkata, rombongan dari Malaysia ini juga tidak memakai jubah atau pakaian lebih kemas untuk memasuki Masjid Al Aqsa, atas faktor keselamatan selepas dinasihati oleh penduduk Palestin sendiri.

Ini kerana, katanya, dalam keadaan tegang dan mudah berlaku pertempuran, adalah lebih baik memakai pakaian yang memudahkan mereka melarikan diri.

“Jadi kami ambil nasihat mereka dan terbukti malam tersebut memang berlaku tunjuk perasaan yang berakhir dengan pertempuran. Lagipun, dalam kumpulan kami bukan semua beragama Islam. Ada juga yang beragama Hindu dan Buddha. Jadi apa saja keputusan yang dibuat, mesti mempertimbangkan keselamatan semua ahli kumpulan,” katanya.

Rombongan tersebut turut bertemu dengan dua kanak-kanak Palestin, Khalid dan sepupunya, Zahid yang menyediakan hidangan teh kepada mereka ketika rombongan tersebut menanti pertempuran di luar Masjid Aqsa reda.

Jelas Akmar, Khalid dan Zahid sudah biasa dengan tunjuk perasaan antara penduduk Palestin dan polis Israel. Meskipun berlaku pertempuran, mereka akan tetap ke masjid tersebut.

“Dia menyajikan teh kepada pelancong yang ke masjid tersebut untuk mendapatkan sedikit wang bagi membiayai yuran persekolahan dirinya. Untuk pelajar berusia 13 tahun sepertinya, Khalid perlu membayar kira-kira RM360 setahun yuran persekolahan, iaitu satu jumlah yang agak mahal bagi rakyat Palestin yang tinggal di Jerusalem,,’ katanya.

Sebelum ini, penduduk Palestin telah memdesak supaya mesin pengimbas atau mesin pengesan logam tidak digunakan di semua laluan masuk ke masjid. Bantahan selama 11 hari itu berakhir selepas Israel akur dengan kehendak penduduk Palestin namun kawalan ketat masih dijalankan di sekeliling masjid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.