Nabila Huda Utamakan Profesionalisme

SETIAP pelakon ada kaedah sendiri dalam mencipta keserasian demi menjayakan sesebuah naskhah.

Begitu juga dengan aktres berbakat besar, Nabila Huda atau lebih selesa dipanggil Abil ini.

Abil berpendapat pelakon boleh membangkitkan keserasian hanya dengan mendalami watak serta skrip yang diberikan.

 

“Bagi saya, untuk mencipta keserasian, kita kena study dan faham skrip itu. Bila dah faham apa yang perlu dibuat, automatik chemistry itu akan datang.

“Sebabnya, kita ini pelakon. Maknanya, kita pergi sebagai pelakon dan boleh bawa apa saja watak. Bukannya pergi set bawa badan, pose, selfie dan berjuta-juta like (tertawa) ,”katanya pada Media Hiburan.

Pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) menerusi filem Munafik ini mengakui tidak pernah wujud ‘cinta lokasi’ sepanjang bergiat dalam seni.

“Perlukah untuk keluar dan makan bersama hanya untuk cipta perasaan cinta? Itu bukan cipta perasaan cinta tapi memang nak bercinta. Saya sendiri tak pernah keluar berdua-duaan dengan pasangan hero saya untuk dapatkan perasaan cinta itu.

 

“Cinta lokasi ni semua tak ada, profesional saja. Bila kita nak cipta benda itu sebenarnya mereka ada niat lain. Bila pengarah kata action, baru kita boleh cakap ya, dia suami kita dan apabila cut, macam biasa baliklah perangai masing-masing, move on,” katanya lagi.

Bukan itu sahaja, katanya, kebanyakan pelakon juga harus belajar dari pelakon lama yang lebih berpengalaman malah Abil sendiri sentiasa melihat cara pelakon lama bekerja dan menyifatkan mereka sangat profesional.

Ibu kepada seorang anak perempuan ini turut memuji cara kerja Fauziah Nawi dan Datuk Rahim Razali yang bukan sahaja memegang skrip tetapi ada buku catatan.

Pun begitu, selebriti berusia 32 tahun ini mengakui sangat terbuka untuk berlakon di samping pendatang baru tetapi mereka perlu faham motif masuk dalam industri.

 

Tambahnya, gelaran pelakon yang disandang bukanlah sekadar untuk mengecapi populariti.

Abil mengakui tidak suka menuding jari kepada sesiapa dan mahu artis baru lebih mementingkan kredibiliti supaya dapat menghasilkan kerja memberangsangkan.

“Saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang lakonan dan memandang serius kerjaya saya,” tegasnya.

Tampil dalam Dendam Aurora

Dalam pada itu, Abil kembali berlakon dalam drama bersiri selepas hampir dua tahun ‘berehat’.

“Sebab, bila saya selalu buat drama episod, masa saya dengan keluarga sangat terhad,” katanya.

Terbaru, anak kepada bintang rock lagenda, Amy Search ini bakal muncul menerusi drama bersiri, Dendam Aurora yang diadaptasi daripada telenovela Itali, Tuscan Passion (Tre Rose Di Eva).

Sebagai pelakon profesional, Abil tertarik dengan jalan ceritanya selain menggemari drama berat kerana sesuai dengan jiwanya.

“Watak saya penuh emosi dan tangisan,” katanya.

Drama 100 episod ini menggandingkan Abil di samping Ungku Ismail Aziz, Shah Iskandar, Anzalna Nasir, Datuk Eizlan Yusof, Fezrul Khan dan ramai lagi.

Ia bakal ditayangkan mulai 25 Julai ini, jam 6 petang di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.