Jengkaut Terbakar Selepas Tersangkut Kabel Elektrik

TEMERLOH – Seorang pemandu jengkaut cemas apabila jentera berat dikendalikannya terbakar selepas bahagian ‘lengan’ kenderaan itu tersangkut pada kabel elektrik dalam kejadian di Kampung Nasi, Lanchang, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 5. 30 petang itu, mangsa Abdul Rauf Muhammad, 25, dari Kampung Mempatih, Lanchang, tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menjalankan kerja membersihkan tanah di ladang kelapa sawit berhampiran.

“Tiba-tiba, saya dengar percikan api dari arah belakang sebelum menyedari lengan jentera tersangkut kabel elektrik yang kendur.

“Sebaik menyedari keadaan itu, saya segera bawa kenderaan ke bahu jalan dan mematikan enjin sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Abdul Rauf berkata, dalam tempoh singkat percikan api mula merebak ke bahagian tayar belakang sebelum membakar bahagian lain.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Arshad Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.35 petang sebelum empat anggota dikerahkan ke lokasi. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.