Forum Jadi Panas, Penyokong Pembangkang Bantah Mahathir Dalam Pakatan

KUALA LUMPUR – Majoriti orang ramai yang hadir Forum Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah anjuran Kelab Bangsar Utama malam tadf melahirkan kekecewaan dan tidak bersetuju dengan tindakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP kerana melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi pakatan tersebut.

Forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan menampilkan empat panel jemputan iaitu aktivis pembangkang, Hishamudin Md. Rais; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Dr. Michael Jayakumar Devaraj dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Haris Ibrahim daripada Asal Bukan UMNO (ABU) kelihatan gagal menjawab soalan sebab pembangkang perlu bergantung pada bekas Perdana Menteri itu untuk melakukan revolusi dan perubahan.

Ahmad, telah mengundi sebanyak dua kali dalam pilihan raya umum mempersoalkan siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak, walau bagaimanapun mendapat jawapan sinis daripada Hishamuddin:

“Siapa Perdana Menteri itu tidak penting kerana soalan itu soalan bangang, beli lembu pun belum tetapi dah sibuk nak letak lembu di mana,” jawab beliau.

Seterusnya, Haris yang mendakwa dia merupakan pengikut tegar zaman reformasi dahulu lantang melabelkan kesemua pemimpin pembangkang hari ini sebagai badut kerana tidak belajar daripada kesilapan lalu.

“Kami dah letih nak mendengar badut-badut semua ini menyampaikan ceramah-ceramah politik, dahulu kutuk dan hasut kami mengenai Mahathir itu bapa segala kejahatan tetapi hari ini gembira menjalin kerjasama dengan Maha Firaun itu?

“Dulu kutuk Mahathir, sekarang bekerjasama dengan Mahathir kutuk Najib. Esok lusa, Najib turun bekerjasama pula dengan Najib? Tidak pernah belajar dengan kesilapan lalu!” katanya sebelum meninggalkan dewan setengah jam sebelum forum berakhir pukul 11 malam.

Sementara itu, Michael Jeyakumar yang juga Ahli Parlimen Sungai Siput berkata, pembangkang memerlukan Dr. Mahathir untuk mendapatkan undi orang Melayu di kawasan kampung kerana majoriti golongan berkenaan masih percaya terhadap kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Kita nak masukkan Dr. Mahathir sebab sebelum ini kita gagal mengurangkan kekhuatiran orang Melayu yang kebanyakannya bimbang jika pembangkang menang, segala subsidi yang diterima akan ditarik balik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, meskipun Dr. Mahathir menjadi pengerusi dalam pembangkang namun barisan kepemimpinan tertinggi lain yang berperanan seperti diktator terhadapnya.

“Soal diktator atau kuku besi, kami telah mengadakan mesyuarat rasmi dan tidak rasmi berkali-kali, banyak cadangan beliau ditolak oleh kami.

“Orang muda perlu berfikir luar daripada kotak, sebab yang ditimpa masalah hingga masuk ke penjara, didakwa di bawah Akta Kesalamatan Dalam Negeri (ISA) gara-gara Dr. Mahathir sebelum ini pun kami, tetapi kami telah pun memaafkannya,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.