Baru Tiga Hari Beli Kereta, Tayar Meletup, Bayi dan Ibu Maut

KUALA TERENGGANU — Seorang bayi berusia tujuh bulan dan ibunya maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km 65, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Abang, Dungun petang tadi.

Nahas kira-kira 1.30 tengah hari itu menyebabkan Naira Nur Farzana Mohd Nazrin yang dipangku ibunya di dalam kereta meninggal di Hospital Dungun sementara ibunya Nurbani Fartini Ahmad Fanizar, 25, maut di lokasi kejadian.

Insiden itu dipercayai berlaku apabila kereta Honda Accord yang dipandu bapanya Mohd Nazrin Nizam, 25, dari arah Kuala Terengganu menghala Kuantan terbabas apabila sebuah tayar kereta terbabit meletup.

Difahamkan kereta yang baru dibeli tiga hari lepas itu turut merempuh tiang lampu menyebabkan bayi itu dan ibunya yang berada bahagian penumpang hadapan tercampak keluar.

Ketua polis daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dengan mayat kedua-duanya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun.

Mohd Nazrin yang berasal dari Dungun hanya mengalami cedera ringan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.