Angkat Tema Cinta Agung

Tiga pelakon popular iaitu Remy Ishak, Bront Palarae dan Ezzaty Abdullah bersatu dalam sebuah filem mengisahkan cinta tiga segi iaitu Kau Takdirku.

Tampak seperti klise, namun filem arahan Jason Chong ini punya kekuatan tersendiri yang sarat dengan permainan emosi.

Ia mengisahkan Kamar (lakonan Remy) yang jatuh cinta secara rahsia dengan Alya (Ezzaty) dan berkahwin dengan rakannya, Harris (Bront).

Harris kemudian hilang di laut membuatkan Kamar cuba memenangi hati Alya dan mereka akhirnya mendirikan rumah tangga.

Kemudian konflik bermula dengan kehadiran Haris yang sebenarnya terselamat. Mampukah Alya membuat pilihan sama ada mahu terus mencintai Kamar atau kembali ke pangkuan Harris?

Kesudahan filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd ini akan dapat disaksikan apabila ia mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 September depan.

Mengangkat tema keagungan cinta dengan menampilkan babak menyayat hati dan pengorbanan yang terpaksa dilalui dalam percintaan, selaku pengarah Jason mengakui tidak sabar menantikan filem ini di pawagam selepas tertangguh hampir tiga tahun.

“Saya tidak sabar untuk melihat maklum balas penonton terhadap filem ini. Dari awal kami memulakan penggambaran di sekitar Langkawi, Pulau Tioman dan Kuala Lumpur, rata-rata meluahkan rasa teruja ketika melihat proses serta perjalanan filem ini yang sarat babak menyentuh hati serta bagaimana takdir seseorang itu berubah.

“Bagi saya, walaupun filem ini ‘diperam’ lama, saya tetap optimis kerana percaya Grand Brilliance mempunyai percaturan hebat untuk memastikan filem ini berjaya di panggung,” katanya.

Jalani penggambaran bawah laut

Walaupun filem ini sudah disiapkan pada penghujung 2014, jalan ceritanya bersifat malar segar dengan pengolahan terkini dan ‘universal’ untuk dipertontonkan.

Jason berkata, menerusi filem ini juga dia memperoleh pengalaman pertama menjalani penggambaran di bawah laut.

“Dari segi sinematografi, saya berjaya mendapatkan syot yang cantik apabila buat pertama kalinya menjalani penggambaran di dasar laut bagi menyuntik kelainan,” katanya.

Menurut Jason, babak mengarah di dasar laut bukanlah mudah walaupun dia memiliki lesen selam scuba.

“Aktiviti menyelam ini membawa saya ke satu dunia lain dan ia jauh lebih tenang. Ketika berada di dalam laut, tiada bunyi lain dapat kita dengar selain hembusan nafas sendiri. Sementara untuk berkomunikasi dengan rakan yang lain hanya dengan pandangan mata dan pergerakan tangan.

“Oleh itu, sebelum memulakan babak di bawah laut, saya sudah memberi keterangan dan panduan kepada barisan pelakon. Ini kerana ketika dalam laut pelakon dan kru mempunyai waktu yang singkat dalam satu hari. Kami hanya dibenarkan menyelam empat kali untuk tujuan keselamatan.

“Di bawah laut, saya memberi arahan secara bertulis kepada pelakon. Memang banyak keindahan alam dapat disaksikan dalam filem ini sekali gus memberi pengalaman berbeza untuk dikongsi kepada umum,” katanya.

Ezzaty bangga berganding dengan Ramy dan Bront

Ezzaty teruja menantikan kehadirannya selepas tiga tahun menunggu filem itu ditayangkan.

Menurutnya, tempoh itu cukup lama dan apabila dikhabarkan filem itu ditayangkan pada September ini, dia memang tak sabar menantikan saat itu.

Menurut Ezzaty, ketika dimaklumkan bakal bergandingan dengan Remy dan Bront, dia tidak fikir panjang untuk menerima tawaran terbabit.

“Saya tidak menunggu lama untuk memberi jawapan. Bagi saya, ini adalah pengalaman berharga sepanjang membabitkan diri dalam industri lakonan. Saya percayai ramai pelakon baru turut menyimpan impian untuk berkongsi satu ‘pentas’ dengan mereka.

“Meskipun teruja bekerja dengan Remy dan Bront, saya akui filem ini bukan mudah untuk dilakonkan. Watak Alya benar-benar menguji kemampuan lakonan saya kerana ia banyak bermain dengan emosi dan perasaan.

“Menerusi filem ini, graf emosi saya berubah daripada seorang wanita yang periang, kemudian jatuh cinta dan tiba-tiba sedih apabila mendapati suaminya hilang. Lebih mengejutkan, dia dimaklumkan hamil dan berkahwin semula dengan rakan baiknya,” katanya.

Ezzaty berkata, dia bersyukur kerana Jason banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang menjalani penggambaran filem ini.

“Sebelum memulakan sesi penggambaran, Jason menghantar saya mengahadiri kelas lakonan bersama Fauziah Nawi,” katanya yang kini hamil lima bulan hasil perkongsian hidup dengan pelakon Azwan Kombos.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.