Aksi Terbaru Kini Tular

Aksi terbaru pelakon Dwayne Johnson atau The Rock dalam filem mini berjudul The Rock x Siri Dominate The Day kini menjadi tular.

Dalam filem berdurasi empat minit, pelakon berusia 45 tahun itu yang beraksi dengan bantuan pembantu digital keluaran Apple iaitu Siri sudah ditonton lebih lima juta kali sejak dimuat naik ke YouTube, Ahad lalu.

Dalam video itu, Dwayne menggunakan bantuan Siri untuk melakukan pelbagai perkara walaupun jadualnya cukup padat.

Antara babak menarik dalam The Rock x Siri Dominate The Day ialah apabila Dwayne ‘mencabar’ jadual hariannya dengan terbang ke Rome, Itali untuk membantu menyiapkan karya seni di Sistine Chapel.

Tidak cukup dengan itu, dia terbang ke angkasa lepas semata-mata untuk swafoto sebelum kembali ke bumi untuk menjayakan babak dalam satu filem.

Satu lagi babak mencuit hati adalah ketika dia menunjukkan gambar yang digunakan sebagai ‘wallpaper’ di telefon pintarnya.

Gambar itu adalah gambar lamanya yang diambil pada 1994 dengan mengenakan rantai emas dan berbaju leher ‘turtleneck’ yang pernah tular sebelum ini.

Bagi Dwayne sendiri, dia menganggap kerjasama dengan Apple bagi menjayakan The Rock x Siri Dominate The Day adalah kerjasama yang paling menarik.

“Kali ini saya bekerjasama dengan Apple untuk menghasilkan filem yang paling besar, santai, seksi dan lucu,” tulisnya di akaun Twitter miliknya.

Kenyataan di Twitter itu menerima Retweet lebih 1,700 pengguna Twitter yang lain, sekali gus mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.