Tiga Tokoh Berkonspirasi Serah Maklumat Palsu Kepada DOJ, FBI

KUALA LUMPUR ― Pergerakan Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis mendakwa seorang pegawai tertinggi kerajaan dan dua bekas pegawai tertinggi kerajaan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia.

 

Laporan polis berkenaan dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pada 1 tengah hari tadi oleh naib ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.

 

Dalam laporan itu, Khairul Azwan menyatakan nama tiga individu tersebut sama ada secara berseorangan atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Najib sebagai perdana menteri dan kerajaan Malaysia yang sah.

 

Katanya, beliau mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai individu-individu tersebut telah memberi maklumat sulit dan dokumen kepada agensi-agensi di Amerika Syarikat termasuk pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

 

“Maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen ini telah diberikan kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara dan sebahagian besar daripada maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan serta diputar belit untuk mencapai tujuan-tujuan jahat,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

 

Khairul Azwan berkata perkara yang beliau laporkan bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas dan beliau meminta pihak polis untuk menyiasat perkara itu dengan segera.

 

Sementara itu, ketua polis daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah mengesahkan menerima laporan itu. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.