Syarat Kerjasama, Jangan Benar PAN Tanding PRN P.Pinang – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pas akan mengadakan “kerjasama bersyarat” dengan PKR jika pilihan raya mengejut diadakan di Pulau Pinang.

 

Dalam tindakan yang digambarkan Sinchew Daily sebagai ‘memotong jalan’ Parti Amanah Negara (PAN) itu, Pas antaranya mahu bertanding di sekurang-kurangnya enam kerusi.

 

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain bertanding di enam kerusi asal, Pas juga mahu dua hingga tiga kerusi yang dipinjamkan kepada PKR dipulangkan.

 

“Mereka (PKR) bekerjasama dengan PAN. Jika PAN bertanding di kerusi Pas, maka kami akan bertanding di kerusi PKR dan DAP,” katanya.

 

Menurutnya, Pas bagaimanapun tidak akan ‘mengacau’ dengan mewujudkan pertandingan pelbagai penjuru jika PAN tidak ‘mengacau’ terlebih dahulu.

 

“Memandangkan PAN ialah anggota Pakatan Harapan, maka kami akan melihat PKR mewakili kesemua tiga parti pakatan dalam rundingan yang dijalankan kelak.

 

“Tetapi mereka tidak boleh benarkan PAN bertanding. Jika tidak, ia melanggar syarat kami,” katanya.

 

Menurutnya, PKR dan Pas bagaimanapun belum mengadakan rundingan berhubung pengagihan kerusi di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.