Suharto pernah disenarai pemimpin dunia paling korup

SHAH ALAM – Transparency International pernah menamakan bekas Presiden Indonesia, Suharto Mohamed sebagai pemimpin dunia yang paling korup sejak 20 tahun lalu kerana mencuri kekayaan negara bernilai antara AS$15 bilion hingga AS$35 bilion.

 

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, Suharto pula mendahului kleptokrat terkenal, iaitu Ferdinand Macros dari Filipina kerana merompak kekayaan negaranya bernilai antara AS$5 bilion hingga AS$10 bilion.

 

Bagaimanapun, ramai tidak memahami tentang gelaran kleptrokrat itu yang diberikan kepada Suharto dan Marcos kerana jenayah rasuah yang dilakukan sebelum ini.

 

Beliau berkata, secara literalnya kleptokrasi bermaksud pemerintahan oleh pencuri, di mana parti pemerintah, terutama mereka berkedudukan rasmi dalam kerajaan mengeksploitasi dan merampas sumber-sumber negara untuk keuntungan peribadi.

 

 
“(Tindakan) itu bertujuan untuk mengekalkan kuasa melalui rasuah, pakatan sulit dan nepotisme. Sebuah kerajaan yang dikuasai pemimpin tidak beretika tetapi berpura-pura menjadi jujur. Hakikatnya ketamakan berleluasa dan terlibat dalam rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

 

Akhbar, yang juga pakar kriminologi dari Help University berkata, antara ciri-ciri kleptokrasi ialah sesebuah kerajaan itu mengenakan bebanan cukai yang tinggi kepada orang ramai dan perusahaan.

 

“Kerajaan kleptokrasi juga mengancam harta negara, seolah-olah ia bagaikan akaun bank mereka sendiri. Mereka mengeksploitasi kekayaan awam dan menggunakan hasil negara untuk kegunaan dan kegemilangan mereka sendiri,” katanya.

 
Katanya, golongan ini juga hanya menghabiskan dana awam untuk projek-projek mewah bagi mendapatkan lebih banyak komisen.

 

“Kerajaan ini mengamalkan kronisme dan nepotisme dengan menganugerahkan kontrak dan jawatan perkhidmatan awam kepada saudara-mara atau rakan peribadi, berbanding calon yang berwibawa.

 

“Cipta projek di peringkat dasar semata-mata untuk menyalurkan wang daripada perbendaharaan kepada diri sendiri atau kroninya. Lebih banyak projek dan program bermakna lebih banyak wang.

 

“Sebenarnya, ia adalah wang rakyat dan harus digunakan untuk membina sekolah, hospital, jalan raya kampung dan rumah untuk orang ramai,” katanya.

 

Beliau turut menimbulkan persoalan sama ada pemimpin kerajaan yang mempunyai ciri-ciri tersebut bersedia menerima kesan daripada perbuatan jenayah yang dilakukan atau sebaliknya.

 

“Kebanyakan pemimpin korup telah diusir, ditangkap, didakwa atau dihukum penjara seumur hidup. Paling teruk, isteri, anak dan keluarga mereka merana dan dimalukan beberapa generasi,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.