Pemerdagangan Orang: Malaysia Sedia Kerjasama Dengan AS

PUTRAJAYA – Malaysia sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang bina upaya yang menyentuh aspek pendakwaan dan sabitan, termasuk dalam mengenal pasti individu yang berpotensi menjadi mangsa eksploitasi buruh dan buruh paksa.

 
Kesediaan itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Duta Besar AS Mengenai Pemerdagangan Orang, Susan Coppedge, dalam satu pertemuan di sini hari ini.

 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau turut memperjelaskan usaha-usaha diambil Malaysia untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang tanpa mengabaikan aspek kebajikan mangsa, selaras dengan amalan di peringkat antarabangsa.

 

“Inisiatif kerajaan Malaysia perlu mendapat sokongan sepenuhnya daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

“Pindaan kepada perundangan domestik mengenai jenayah ini telah membuka ruang penyertaan dan penglibatan sepenuhnya kepada NGO terutamanya mengenai aspek perlindungan mangsa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan sempena pertemuan dengan Coppedge di pejabatnya di Perdana Putra.

 

Lawatan Coppedge yang juga Penasihat Kanan kepada Setiausaha Negara AS adalah susulan daripada Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang 2016 (US TIP Report) dikeluarkan Jabatan Negara AS (JNAS) di Washington 30 Jun lepas.

 

Penilaian JNAS terhadap 188 buah negara yang merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan, mengekalkan Malaysia di Tahap Dua Pemerhatian bagi tahun ini.

 

Ahmad Zahid berkata, usaha dilaksanakan Malaysia bukan sahaja berdasarkan cadangan yang dikemukakan JNAS, tetapi juga mengambil kira obligasi negara sebagai anggota ASEAN susulan penerimaan Konvensyen ASEAN dalam Membanteras Pemerdagangan Orang Khususnya Wanita dan Kanak-kanak serta Pelan Tindakan Serantau mengenai jenayah itu.

 

Katanya, kedua-dua instrumen itu telah dipersetujui oleh negara-negara ASEAN di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

 

Sementara itu, Coppedge akan turut mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk mengadakan sesi interaksi dengan ahli-ahli Jawatankuasa Peringkat Tinggi mengenai Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid.

 

Interaksi itu bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh JNAS 2016 bagi Malaysia memperbaiki tahap penilaian negara untuk laporan JNAS pada tahun hadapan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.