Kelantan Tak Gentar Sorakan Larkin

Kekuatan skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) banyak bergantung pada prestasi tenaga importnya.

 

Jika rentak mereka menjadi, maka pasukan Harimau Selatan itu memang sukar digugat.

 

Menyedari hakikat tersebut, Kelantan akan pastikan dua tonggak import Johor DT, Lucero serta Jorge Preyra Diaz ‘dirantai’ apabila kedua-dua pasukan turun membuat perhitungan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin malam ini.

 

Walaupun Johor DT memiliki reputasi yang tinggi, ia tetap tidak mengundang gentar buat Kelantan dan mereka meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya me­raih satu mata pada perlawanan itu nanti.

 

Barisan pemain skuad kendalian Velizar Emiloy Popov itu juga tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan lawan mereka itu walaupun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

 

Pengurus pasukan, Wan Badri Wan Omar berkata, biarpun bakal berdepan laluan sukar, namun Kelantan tetap berazam untuk mencuri sekurang-kurang satu mata pada perlawanan itu nanti.

 

“Aksi menentang pe­neraju Liga Super yang sedang berada di kemun­cak prestasi ketika ini bukan satu tugas mudah, ditambah mereka beraksi di laman sendiri. Situasi itu pasti memberikan ke­lebihan buat Johor DT.

 

“Bukan itu sahaja, mereka kekal dengan rekod tanpa kalah. Namun, saya percaya Popov sudah mempunyai perancangan untuk berdepan Johor DT nanti,” kata Wan Badri di Kota Bharu semalam.

 

Wan Badri memberitahu, berdasarkan prestasi semasa, beliau optimis Kelantan mampu memberikan tentang sengit kepada Johor DT.

 

Katanya, beliau juga berharap barisan pemain Kelantan akan terus mengekalkan rentak cemerlang seperti yang dipamerkan dalam perlawanan sebelum ini.

 

“Bukan itu sahaja, saya harap pemain yang diturunkan dapat beraksi tanpa tekanan,” ujarnya.

 

Menurutnya lagi, Kelantan tidak boleh terus keciciran mata kerana ia akan merugikan pasukan dalam usaha mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Super.

 

Selepas mengharungi 14 perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga kelima dalam carta Liga Super dengan 17 mata.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.