Dakwaan Saari Istana Campur Urusan Pentadbiran Dinafikan Azmin

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas mana-mana pihak termasuklah pemimpin daripada parti sekutunya, PAN yang dikatakan cuba mengaitkan pihak istana kononnya mencampuri urusan politik serta pentadbiran di negeri ini.

 

Beliau menegaskan bahawa pihak istana tidak pernah berbuat demikian, apatah lagi mengarahkan beliau atau mengaturkan kedudukan politik di Selangor.

 

Walaupun tidak menamakan pemimpin PAN terbabit, bidasan Mohamed Azmin itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden PAN, Saari Sungib yang dilaporkan menerusi portal berita propembangkang, Malaysiakini.com yang meminta penjelasan sama ada Menteri Besar Selangor itu mengamalkan budaya berbahaya iaitu permainan ‘politik istana’ dengan mengekalkan Pas dalam kerajaan negeri.

 

“‘Kita bersyukur institusi raja di Selangor yang tidak mencampuri pentadbiran negeri. Jangan buat kenyataan yang menimbulkan prasangka (terhadap pihak istana),” katanya selepas penutupan Forum Kebebasan Maklumat di Bangunan Annex di sini semalam.

 

Pada masa sama, Mohamed Azmin juga tidak menafikan me­ngenai kenyataan beliau menerusi akaun Twitternya yang berbunyi; “@SaariSungib nak jadi pengemis untuk jawatan Exco ke” sebagaimana yang dilaporkan media semalam.

 

Kenyataan Twitter itu dikatakan dibuat Mohamed Azmin malam semalam susulan daripada tindakan Saari merangkap Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Hulu Klang meminta beliau membuat penjelasan mengenai isu ‘politik istana’ itu yang dikatakan untuk memastikan kerajaan negeri ini dianggotai majoriti orang Melayu.

 

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan bahawa kedudukan Pas dalam kerajaan negeri ini berdasarkan mandat yang diperoleh pada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan Pas menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, diikuti DAP (15 kerusi) manakala PKR mempunyai 14 kerusi DUN.

 

“Bagaimanapun, ketika ini ke­dudukan itu mengalami perubahan dengan DAP mempunyai 15 kerusi manakala PKR dan Pas masing-masing ada 13 kerusi dan PAN dua kerusi,” jelasnya.

 

“Justeru, pentadbiran kerajaan negeri pada hari ini kekal berdasarkan mandat dahulu. Kedudukan pentadbiran negeri ketika ini bukan pilihan saya atau pilihan beliau (Saari), tetapi pilihan rakyat yang membuat keputusan,” jelasnya.

 

Maka, kata Mohamed Azmin, beliau harap tidak ada mana-mana pihak cuba buat kenyataan yang bersifat me­rendah-rendahkan muafakat yang ada.

 

“Malah, ketika mendapat mandat pada pilihan raya umum lalu, PAN tidak ada (wujud) pun,” ujarnya.

 

Sementara itu, Saari ketika ditemui mengakui meminta Mohamed Azmin membuat penjelasan tersebut, selain menyatakan kaitan pihak istana dalam pentadbiran Selangor yang dibangkitkannya hanya diketahui menerusi ‘cakap-cakap politik’ sahaja.

 

“Namun, dalam suasana hari ini, saya sokong pentadbiran kerajaan yang tidak ada gangguan. Jika ada pihak menyatakan pakatan pembangkang baharu tidak relevan di Selangor atau hanya satu strategi pilihan raya semata-mata, kita (PAN) berhadapan de­ngan tekanan kerana kita bersama dalam pakatan yang membentuk kerajaan negeri tetapi tidak berada dalam pentadbiran.

 

“Maka perlu ada peruntukan kepada PAN dalam jawatan-jawatan dalam kerajaan negeri tetapi tidak semestinya jawatan Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri),” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.