Atlet Jangan Jadi ‘Pelancong’ Di Rio Kata KJ

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan atlet negara yang bakal menggalas cabaran pada Sukan Olimpik 2016 ini tidak menjadi ‘pelancong’ di Rio de Janeiro, Brazil nanti.

 

Beliau berkata, walaupun ada segelintirnya tidak diletakkan harapan untuk meraih pingat, tetapi harus memperagakan prestasi memberangsangkan sekurang-kurangnya memperbaharui rekod kebangsaan catatan peribadi terbaik.

 

“Saya tak mahu mereka menjadi ‘pelancong’ walaupun tiada sasaran pingat diletakkan. Saya mahu semua atlet pamerkan prestasi terbaik termasuk atlet olahraga yang harus tampil mengatasi pencapaian peribadi terbaik.

 

“Walaupun kontinjen kita terdiri daripada 32 atlet, bukan semua disasarkan untuk menang. Harapan saya, walaupun sasaran bukan untuk memenangi pingat atau kedudukan podium, mereka harus buat yang terbaik di sana. Saya tidak mahu mereka pergi ke sana sebagai pelancong,” tegasnya ketika ditemui selepas majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (MASOC) dengan Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. di Putrajaya semalam.

 

 

Sukan Olimpik 2016 Rio akan bermula secara rasminya pada 5 hingga 21 Ogos depan.

 

Sehubungan itu, Khairy mengulangi kenyataan bahawa tiga acara, badminton, berbasikal dan terjun tetap menjadi sandaran pingat pada temasya di Rio itu nanti.

 

Menurut Khairy, beliau yakin semua atlet telah mempersiapkan diri terutama mereka yang dilihat berpotensi menyumbang pingat kepada negara khasnya jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, jaguh berbasikal trek, Mohd. Azizulhasni Awang dan ratu terjun, Pandelela Rinong.

 

Beliau yakin tiga acara sukan itu dapat memenuhi potensi sebenar di Rio berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan atlet berkenaan.

 

Terdahulu, kontinjen negara meraih pingat perak dalam acara badminton menerusi Chong Wei pada temasya 2008 di Beijing dan 2012 (London), manakala pingat gangsa dalam acara terjun menerusi Pandalela (London 2012).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.