Amnesty Dakwa Tahanan Terlibat Rampasan Kuasa Turki Diseksa, Dirogol

LONDON ― Tentera yang disyaki cuba menggulingkan presiden Turki diseksa, dipukul, dirogol dan dibiarkan kelaparan, dakwa badan hak asasi terkenal Amnesty International.

 

Badan itu mendakwa ia ada “bukti berwibawa” tentang penderaan dan penyeksaan yang dialami tahanan sejak tangkapan besar-besaran selepas rampasan kuasa yang gagal 15 Julai lalu.

 

Kumpulan itu yang berpangkalan di sini berkata mereka yang ditahan “dipukul dan diseksa, termasuk dirogol, di pusat tahanan rasmi dan tidak rasmi” di Turki, lapor Daily Mail semalam.

 

Turki secara rasmi menyatakan lebih 13,000 tentera, polis, hakim, kakitangan kerajaan dan orang awam ditahan sejak pertengahan bulan ini.

 

Namun pegawai kanan kerajaan Turki menafikan dakwaan Amnesty International itu dan menegaskan negaranya tetap mendukung prinsip hak asasi manusia.

 

“Dakwaan tentang Turki, negara yang cuba memohon keahlian Kesatuan Eropah, tidak menghormati undang-undang itu tidak masuk akal,” katanya.

 

“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan meminta kumpulan pendesak membawa bukti kukuh tindakan perundangan yang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian kejam hampir 250 orang awam.”

 

Seramai 13,165 orang ditahan selepas cubaan menggulingkan kerajaan gagal, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu lalu.

 

Jumlah itu termasuklah 8,838 askar, 2,101 hakim dan pendakwa raya, 1,485 pegawai polis dan 689 orang awam.

 

Lebih 120 jeneral dan laksamana turut dipenjara, kata Perdana Menteri Binali Yildirim.

 

Amnesty berkata pihaknya menerima laporan mengatakan polis di Ankara dan Istanbul memenjarakan tahanan dalam “kedudukan tekanan” badan, sejenis taktik dera, sehingga 48 jam.

 

Ia juga mendakwa tahanan tidak diberi sebarang makanan dan minuman serta rawatan perubatan semasa dicerca dan diugut.

 

Dua peguam di Ankara, yang mewakili tahanan, memberitahu Amnesty International bahawa mereka melihat pegawai-pegawai kanan tentera dirogol.

 

Pegawai-pegawai tinggi tentera paling teruk diseksa berbanding tahanan-tahanan lain, dakwa Amnesty lagi.

 

Tambahnya, laporan badan itu berdasarkan temubual dengan beberapa peguam, doktor dan kakitangan yang menjaga pusat tahanan.

 

Seorang peguam menceritakan beliau melihat seorang tahanan cuba terjun melalui tingkap dari tingkat enam, kata Amnesty.

 

“Kita faham Turki mengambil berat keselamatan awam buat masa ini tetapi dalam apa jua keadaan tidak boleh wujud seksaan dan layanan buruk atau tangkapan sesuka hati,” kata pengarah bahagian Eropah Amnesty, John Dalhuisen.

 

Beliau menggesa pihak berkuasa Turki menghentikan “tindakan keji itu” dan membenarkan badan pemantau antarabangsa melawat tahanan-tahanan. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.