WSJ Diselar Kerana Cetek Pengetahuan Tentang Malaysia

Kuala Lumpur – The Wall Street Journal (WSJ) begitu pantas mengkritik Malaysia, namun ini menampakkan betapa ceteknya pengetahuan dan pemahaman WSJ mengenai negara ini dan sejarahnya, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

 

Dalam surat terbuka kepada harian berpangkalan di New York itu mengenai komentar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam WSJ, Anifah hari ini berkata “suara tentangan” yang bekas ketua pembangkang itu dakwa tidak dapat didengar adalah sebenarnya dominan dalam media berita online Malaysia, yang mempunyai jauh lebih ramai pembaca dari media cetak.

 

“Jika seseorang meragui ‘kebebasan asas’ rakyat Malaysia, mereka sendiri boleh lihat betapa bebasnya seseorang itu mengkritik kerajaan di laman berita ini,” katanya.

 

“Adalah menyedihkan WSJ termakan dakwaan yang kecewa dan tidak berasas oleh seorang ahli politik dan mengemukakannya sebagai fakta – dengan itu bersikap memihak dalam politik dalaman Malaysia,” katanya.

 

Malahan, kata Anifah, sesetengah pihak bercakap begitu positif tentang Malaysia kebelakangan ini.

 

“Bloomberg memberi rating kepada Malaysia sebagai pasaran sedang muncul yang kelima paling menjanjikan di dunia pada 2015.

 

“Dalam Laporan terbaru Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai negara kita berjudul ‘Favourable Prospects for Malaysia’s Diversified Economy’ seorang Felo Kanan di Majlis Perhubungan Asing menulis: ‘Perbincangan politik di Malaysia makin jauh lebih terbuka dari sedekad lampau”.

 

“Dan agensi rating Fitch baru-baru ini menaikkan prospek masa depan bagi Malaysia,” katanya.

 

Ini adalah hakikat mengenai Malaysia hari ini, kata menteri itu.

 

Anifah berkata Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi sejak merdeka pada 1957, dan pilihan raya dijalankan dengan berlaku pertandingan sengit, dan pembangkang memenangi lima dari 13 negeri pada 2008.

 

Perbincangan politik begitu vibran dan lantang, katanya.

 

Dua hari lepas, Anwar dalam artikelnya disiarkan oleh WSJ menyelar kerajaan kerana mengenakan kawalan ketat ke atas kebebasan asasi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.