Tak Semua Wakil Rakyat PAS Guna Lafaz Bai’ah – Mahfodz

Kuala Lumpur – Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata sumpah bai’ah yang kini menjadi pertikaian tidak melibatkan kesemua wakil rakyat parti itu.

 

Merujuk kepada lafaz bai’ah ‘cerai talak tiga’, Mahfodz memberitahu meskipun PAS sedar akan ‘kesannya’ terhadap hubungan suami isteri, namun ia terpulang kepada mana-mana negeri untuk mengamalkannya.

 

Setakat ini, Kelantan konsisten untuk berpegang kepada bai’ah menceraikan isteri dengan talak tiga.

 

“Baiah ada dua jenis. Jika yang seluruh Malaysia pakai adalah janji tidak akan mengkhianati PAS. Ia berat sebab jika seseorang khianati dengan melompat parti atau tidak ikut dasar perjuangan Islam, maka Allah SWT akan melaknatnya termasuk malaikat. Itu berat.

 

“Manakala yang satu lagi (cerai talak tiga) sesetengah tidak pakai. Contoh di Johor tidak pakai cerai talak tiga. Di Kelantan ada menggunakannya.

 

“Dahulu sebelum 2004 dan 2008, seluruh PAS menggunakan lafaz boleh bercerai dengan isteri. Namun sesetengah negeri apabila ia dikaji, tidak pasal-pasal menghukum isteri yang tidak berdosa.

 

“Namun ulama di Kelantan teruskannya, jadi ia terpulang kepada masing-masinglah,” katanya sambil menambah pendekatan bai’ah cerai talak tiga yang diamalkan di Kelantan dilakukan sejak kepimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

Pertikaian mengenai isu bai’ah ini timbul setelah kumpulan progresif PAS yang kalah pada pemilihan parti Jun lalu bertindak menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Kononnya bertujuan mahu menyatukan semula pembangkang, usaha itu bagaimanapun ditempelak oleh PAS kerana secara terang-terangan memecah-belahkan perpaduan parti Islam berkenaan.

Bukan itu sahaja, tindakan golongan ini juga disifatkan tersasar daripada lafaz bai’ah yang dilakukan mereka ketika menerima pelantikan sebagai wakil rakyat.

Meskipun ada pihak kurang senang dengan bai’ah talak tiga yang diamalkan PAS ini, Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob mengakui hal itu sememangnya terkandung dalam sumpah berkenaan dan ia bukan perkara main-main.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bagaimanapun mendakwa sumpah yang diikrarkan pada 2008 melibatkan menceraikan isteri itu tidak diperbaharui menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Sementara itu, Mahfodz yang ditemui selepas Himpunan Solat Hajat Dan Munajat Perdana ‘Mendoakan Keselamatan dan kesejahteraan PAS’ malam tadi di Gombak menegaskan program itu tidak ada kaitan dengan penubuhan GHB dan serangannya terhadap parti Islam itu.

Sebaliknya ia diadakan bagi memperkemaskan lagi perjuangan PAS dan menperkukuhkan sokongan ahli-ahli terhadap parti.

“Kita minta ahli-ahli PAS beristiqamah, bersatu-padu dan selamatkan PAS supaya terus istiqamah. Tiada kena-mengena dengan hal yang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu juga, Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor enggan mengulas kandungan ucapan raya ulama dunia, Dr Yusuf Qardhawi terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul berkenaan kerjasama dengan yang bukan Islam.

“Saya tidak boleh komen sebab saya tidak baca,” katanya ringkas.

Terdahulu ulama tersohor, Dr Yusuf al Qaradawi dikatakan mengutus salam Syawal kepada Hadi dengan berharap pemimpin itu mampu berdepan dengan cabaran yang sedang dilalui oleh PAS.

Ucapan itu digambarkan sebagai keprihatinannya terhadap gerakan melemahkan PAS, sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan progresif PAS melalui penubuhan GHB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.