Siasatan Tetap Diteruskan, Sekalipun The Edge Digantung

Kuala Lumpur – Siasatan terhadap 1MDB dan isu berkaitannya tidak dihentikan hanya kerana kerajaan menggantung penerbitan The Edge, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan.

 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, dakwaan segelintir yang tidak berpuas hati terhadap penggantungan The Edge dan The Edge Financial Daily, bahawa tindakan itu sebagai tekanan terhadap siasatan 1MDB, adalah tidak benar sama sekali.

 

Tegasnya, siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) semakin hari semakin rancak dan tidak boleh dihentikan.

 

“Kenapa pegawai penyiasat tidak diberikan masa dan ruang mencukupi untuk menjalankan kerja mereka? Tidakkah kita mahu keluarkan kebenaran? Kenapa tidak kita percaya pegawai penyiasat menjalankan tugas mereka sebaliknya mempercayai The Edge sekalipun terbukti terbabit dalam skandal yang didakwa Justo sebagai bertujuan menjatuhkan kerajaan Malaysia? Bayangkan jika ia benar? Akibatnya tidak boleh dibayangkan!” kata Abdul Rahman hari ini.

 

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, Ahli Parlimen Kota Belut itu turut menyelar segelintir pihak yang mempersoalkan mengapa 1MDB tidak keluar dan menjawab dakwaan dibuat? Dan mengapa rakyat Malaysia perlu menunggu siasatan selesai terutama perbicaraan PAC.

 

Katanya: “Sebenarnya, 1MDB ada mencuba (jawab). Tetapi ada sesiapa mendengar? Bila 1MDB cuba menjelaskan, mereka tuduh tidak mendedahkan semua fakta atau lebih buruk, `menggoreng’ fakta mereka. Akhirnya, penjelasan 1MDB dikritik sebagai tipu dan sengaja dipalsukan.”

 

Beliau berkata, berdepan dengan cabaran seumpama itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memutuskan kaedah terbaik untuk 1MDB menjawab dakwaan berkenaan adalah di hadapan PAC yang turut membabitkan Ahli Parlimen daripada kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.

 

“PAC akan berbeza daripada tiada peraturan yang menghalang, bebas daripada pesta semua slanga di internet. Perbicaraan PAC mengikut prosedur sistematik bagi soalan dan jawapan, selain direkodkan setiap minit.

 

“Bagi memastikan prosiding PAC dikendalikan secara professional dan adil, perbicaraan terikat dengan arahan tetap Parlimen dan prosedur ketat supaya mudah memisahkan fakta daripada fiksyen.”

 

Abdul Rahman berkata, di hadapan PAC – yang dijangka dimulakan bulan depan, bukan hanya isu 1MDB boleh disoal jawab secara terus oleh ahlinya turut membabitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara – pengkritik setia 1MDB – Tony Pua, tetapi juga dipastikan penjelasan terperinci dan berterusan akan didengar dengan baik, dibahaskan dengan adil dan direkodkan secara rasmi.

 

“PAC adalah peluang terbaik 1MDB mendedahkan cerita mereka. Sejak sekian lama, The Edge, Sarawak Report dan pihak lain menghujani tuduhan terhadap mereka.

 

“Kini, buat pertama kalinya, 1MDB berpeluang menjawab kritikan terbesar itu, berhadapan dengan Tony Pua dan ahli PAC yang lain.

 

“Saya yakin, ahli PAC mempunyai soalan sukar buat 1MDB terutama berhubung perjanjian dengan Petrosaudi pada 2009,” katanya yang menegaskan isu berpanjangan yang mengganggu fokus terhadap perkara penting seperti Rancangan Malaysia ke-11 dan Wawasan 2020 itu, harus diselesaikan

 

“Jika siasatan berterusan pihak berkuasa mendapati tiada wang hilang, disalurkan atau hilang, maka 1MDB akan menjadi mangsa. Kerana itu, saya harap, 1MDB akan memulakan tindakan undang-undang yang ketat termasuk saman fitnah terhadap pengkritik.

 

“Begitu juga, kerajaan berhak mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menjatuhkan kerajaan secara menyalahi undang-undang dan mensabotaj kestabilan ekonomi.

 

“Jika ada bukti kukuh bahawa duit 1MDB berbilion dicuri atau dimasukkan ke akaun peribadi individu, maka, mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan,” kata Abdul Rahman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.