Jangan ‘Tembak’ Walau Tak Suka – Mukhriz

Cheras – Pemimpin dinasihat bersikap terbuka dan mendengar semua maklumat yang disampaikan walaupun ia tidak digemari.

 

Kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tindakan yang betul apabila seseorang pemimpin menerima maklumat ialah bertindak mencari penyelesaian, bukannya ‘menembak’ (mempersalahkan atau menghukum) penyampai berita.

 

Menurut Menteri Besar Kedah itu memang ada pemimpin yang tidak gemar menerima nasihat atau teguran.

 

“Orang tu nak sampaikan berita, malangnya berita itu tak berapa sedap didengar. Jadi bukannya ada tindakan untuk mengatasi masalah yang dibangkitkan, sebaliknya orang yang menyampaikan mesej itu yang kena (diambil tindakan),” kata anak bekas perdana menteri itu.

 

Berucap di majlis perasmian mesyuarat tahunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Cheras di Kuala Lumpur hari ini Mukhriz berkata keadaan itu sangat bahaya sekiranya sering berlaku.

 

 

Ucap terima kasih kalau benar

 

“Lama-lama orang tak berani nak cakap. Kalau timbul masalah biar dia (pemimpin) selesai sendiri,” kata Mukhriz.

 

Walaupun tidak membuat sebarang rujukan, ketika ini memang diketahui ramai bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara tokoh Umno paling lantang mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

 

Tindakan Dr Mahathir itu menyebabkan beliau diberi liputan negatif secara langsung atau tidak dalam media arus perdana.

 

Mukhriz menegaskan, pemimpin hanya akan memiliki kekuatan apabila pengikut dan penyokong beramai-ramai bersatu hati.

 

“Janganlah pula tembak orang yang menyampaikan maklumat atau berita, sebaliknya selagi kita siasat dan kita dapati ia benar, sepatutnya kita ucap terima kasih kerana ada orang yang sayang (pemimpin).

 

“Dia sampaikan maklumat yang kurang mengembirakan itu untuk menyelamatkan keadaan,” kata Mukhriz.

 

 

Peluang hingga akhir tahun

 

Dalam perkembangan lain Mukhriz menyeru ahli Umno memberikan sokongan kepada seseorang hanya dengan alasan yang betul, bukannya membuta tuli hanya kerana seseorang itu berada di kedudukan pemimpin.

 

Jika tidak, katanya, sikap begitu akan membinasakan parti.

 

Pada masa sama, kata Mukhriz, adalah kesilapan besar jika pemimpin menganggap rakyat tidak mengetahui apa-apa.

 

“Rakyat tak bodoh. Rakyat sangat faham apa yang berlaku di luar sana kerana mereka sendiri yang kena (merasai kesan atas sesuatu perkembangan).

 

“Kalau kita buat suatu keputusan yang kita rasa tepat tetapi mungkin kurang popular, kita kena terangkan kepada rakyat agar mereka faham,” tegurnya.

 

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee berharap kepimpinan Umno dapat menyelesaikan masalah 1MDB secepat mungkin.

 

“Kepimpinan dah menyatakan (untuk menyelesaikan isu 1MDB) selewat-lewatnya akhir tahun ini. Jadi kita beri peluang .

 

“Kalau akhir tahun ini tak dapat diselesaikan, maka kita kena buat sesuatu untuk kebaikan dan kepentingan parti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.