Adakah DAP Terbabit Dalam Konspirasi Guling Kerajaan? – Awang Selamat

Kuala Lumpur – “Apakah DAP terbabit dalam gerakan menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi, melalui kerjasama dengan individu dan media asing?” soal Awang Selamat menerusi kolumnya di Mingguan Malaysia, hari ini.

 

Perkara itu muncul, apabila beberapa siri pendedahan mengenai pertemuan pemimpin parti itu, Tony Pua bersama pengasas Sarawak Report, Claire Brown terbongkar.

 

Menurut Awang, masyarakat juga masih menunggu kenyataan rasmi penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya yang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu berkenaan.

 

Merujuk pertemuan antara Pua dan Brown, Awang juga menyeru Pua berundur daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) secara sukarela atas nama integriti.

 

Katanya, dakwaan yang melibatkan Pua dalam urusannya bersama Brown adalah serius.

 

“Dengan perkembangan terbaru, termasuk pengakuan pemimpin DAP, Tony Pua menemui Brown berhubung dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB), apakah beliau layak duduk dalam PAC bagi menjalankan siasatan ke atas syarikat pelaburan tersebut?

 

“Dengan kata lain, dakwaan pembabitan beliau dilihat serius. Sepatutnya Tony Pua dengan rela hati, atas nama integriti dan demi menjaga reputasi PAC, perlu berundur,” katanya.

 

Jelas Awang, melalui perkembangan terkini siasatan berkenaan, DAP juga harus mengambil langkah budiman, dengan mengarahkan Pua mengecualikan diri bagi mengelakkan cacat cela kepada PAC.

 

Ini kerana, katanya, Pua merupakan wakil DAP dalam jawatankuasa berkenaan.

 

“Orang yang sudah tercemar nama dan mencetuskan keraguan besar serta mempunyai motif tertentu, tidak layak terlibat soal siasat PAC.

 

“Tolong jangan bagi malu parti itu, seolah-olah tidak faham definisi integriti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.