36 Korban Akibat Banjir Di Pakistan

Islamadab – Hujan lebat dan banjir melanda Pakistan menyebabkan 36 kematian setakat ini dan menjejaskan lebih 250,000 mangsa, menurut pegawai pengurusan banjir negara itu hari ini.

 

Bencana itu turut mengakibatkan kapasiti air sungai meningkat dan merosakkan terusan air di ratusan buah kampung.

 

Cuaca buruk juga membadai kawasan utara dan selatan negara itu, merosakkan jalan raya dan jambatan di daerah Chitral di utara wilayah Khyber Pakhtunkhwa, sementara banjir menjejaskan kampung di selatan Punjab.

 

Terdapat ternakan dan penduduk yang dihanyutkan di barat daya wilayah Baluchistan dan di timur laut Kashmir.

 

Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), Ahmed Kamal, berkata laporan diterima pihaknya setakat ini merekodkan 26 orang terbunuh di Chitral, tiga di Punjab dan tujuh di Baluchistan.

 

“Lebih 350 kampung terjejas di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan 422 kampung di Punjab. Dianggarkan keseluruhan 250,000 penduduk terjejas ekoran banjir itu,” katanya.

 

Lapan sekeluarga juga dilapor terbunuh semalam di Chitral selepas rumah mereka dihanyutkan air, menurut seorang pegawai NDMA di Khyber Pakhtunkhwa.

 

Sementara itu, di daerah Khuzdar di wilayah Baluchistan, pihak NDMA melaporkan empat sekeluarga terbunuh apabila kereta dinaiki mereka dibawa arus.

 

NDMA turut meramalkan hujan lebat akan berlarutan di seluruh negara itu pada hari mendatang.

 

Laman web NDMA turut mengeluarkan amaran bahawa cuaca buruk akan melanda utara Gilgit Baltistan dan Chitral untuk tempoh empat hingga lima hari akan datang, dan berpotensi menyebabkan lebih banyak banjir berlaku.

 

Hampir setiap tahun sejak 2010, menyaksikan bah buruk di Pakistan yang menyebabkan ratusan penduduk maut dan memusnahkan berjuta-juta ekar tanah ladang, sekali gus menjejaskan ekonomi negara itu yang banyak bergantung kepada sektor pertanian. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.