Kuala lumpur – Tidak perlu orang tengah untuk berbincang tentang kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Umno dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya dengan GRS akan dibincangkan kemudian.
“Saya tidak perlu orang tengah,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu semalam, lapor Utusan di Sabah.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tentang kehendak pimpinan BN pusat yang menyatakan hasrat untuk BN, PH dan GRS bergabung dalam PRN Sabah akan datang.
Bung Moktar juga Pengerusi Umno Sabah berkata, pendirian beliau masih kekal iaitu mereka hanya akan bekerjasama dengan parti yang telus, ikhlas dan tidak menipu.
Ditanya jika sudah mengadakan pertemuan empat mata dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, beliau menjawab, belum ada dan tiada keperluan untuk membuat sedemikian.
Mengenai hubungan BN dengan PH, beliau berkata, ia baik setakat ini dan rundingan PRN berjalan dengan lancar kecuali beberapa perkara terperinci yang perlu dibincang.
Bung Moktar juga mengulang saranan untuk BN dan Umno Sabah memutuskan kerjasama dengan gabungan atau parti lain hanya selepas keputusan pilihan raya.
“Sebab kalau kita bergabung sekarang, dia boleh cakap yang dia boleh menang 50 kerusi dan saya boleh menang 40 kerusi.
“Tetapi realitinya, selepas pilihan raya baru kita tahu siapa yang menang banyak dan akan tahulah siapa kawan kita,” katanya.