GUA MUSANG,– Penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Bering Baru di Gua Musang kini boleh menarik nafas lega apabila akhirnya dapat menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih baik dan stabil. Perkembangan ini hasil daripada tindakan proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang giat memperluas capaian digital ke kawasan pedalaman.
Sebagai langkah segera, MCMC telah menyediakan perkhidmatan Internet menggunakan teknologi WiFi percuma melalui kemudahan Broadband Wireless Access (BWA). Di bawah inisiatif ini, setiap penduduk berdaftar layak menerima 5GB data percuma setiap bulan, dan boleh menambah data melalui ejen terpilih yang telah dilantik.
Kampung Bering Baru merupakan antara 18 kawasan KOA di Gua Musang yang menikmati penambahbaikan liputan komunikasi menerusi pelaksanaan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Dalam jangka panjang, MCMC turut merancang pembinaan sebuah menara telekomunikasi baharu berhampiran kampung tersebut sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan infrastruktur fasa seterusnya. Ini dijangka akan memberi liputan yang lebih menyeluruh dan berdaya tahan.
Menurut MCMC, pemantauan berkala akan terus dilaksanakan bagi memastikan mutu perkhidmatan komunikasi di kawasan ini berada pada tahap optimum dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam merapatkan jurang digital serta memastikan masyarakat luar bandar dan komuniti Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi dan komunikasi negara.