KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akhirnya membuat keputusan untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) secara solo tanpa mengharapkan lagi jawapan daripada Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, MUDA akan bertanding atas kekuatan parti itu sendiri meskipun masih mentah dan kurang dari aspek kewangan.
“MUDA akan menyertai PRN ini dan akan bertanding di atas kekuatan parti kita sendiri.
“Asas penubuhan MUDA ialah membawa politik baru untuk Malaysia, sebelum ini banyak kompromi.
“Tetapi kini MUDA akan bersuara sendiri supaya rakyat ada alternatif dan pilihan yang tak ingin melihat politik 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalti (institusi diraja) dimainkan secara melampau,” kata Syed Saddiq ketika sidang media pada Isnin.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, kehadiran MUDA dalam PRN ialah menuntut janji- janji pilihan raya dan mengangkat martabat rakyat.
Menurut Syed Saddiq, politik Malaysia mutakhir ini hanya mempunyai dua blok politik, maka MUDA akan tawarkan alternatif.
Tambah beliau, jika ada dakwaan mengatakan MUDA akan memecahkan undi.
“Cukup-cukuplah dengan politik untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Jika janji ditunaikan, reformasi dilaksanakan, kuasa dikembalikankan kepada rakyat maka tidak ada keperluan untuk MUDA bertanding.
“Tetapi bila parti politik blok terbesar terlalu selesa “kamu tidak undi kita, sebelah sana akan menang, hancur negara” dan sebelah a pun kata sama “kamu tidak undi kita hancur Melayu Islam,” bidas beliau.
Syed Saadiq juga mengkritik cara kerja Kerajaan Perpaduan yang disifatkan masih mengamalkan politik lapuk yakni dengan bersikap pilih bulu ketika pemberian peruntukan ahli Parlimen, pemusatan kuasa apabila Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah individu sama.
“Itu semua politik lapuk, MUDA sertai politik untuk padamkan politik lapuk, kurangkan pemusatan kuasa,” jelasnya.
Meskipun masih baru, Syed Saddiq akui MUDA kurang pengalaman namun idealisme berkobar-kobar.
Selain itu, beliau memaklumkan mesyuarat dan kempen MUDA untuk pilihan raya ini akan dijalankan secara maya di platform media sosial kerana tidak mempunyai modal yang besar seperti parti-parti lain.
“MUDA percaya dengan prinsip politik khidmat dan akan terus bawa perubahan buat Malaysia.
“MUDA akan berikan komitmen penuh dalam PRN kali ini,” kata Syed Saddiq.