Mangsa Kemalangan Terkejut Agong Datang Bantu

PUTRAJAYA – Mangsa kemalangan, Jasliza Jamil pada mulanya menyedari kehadiran pasukan konvoi polis susulan kereta dinaikinya terbabas di susur Pesiaran Barat Lebuh Sentosa di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, dia tidak menjangkakan rupa-rupanya konvoi itu membawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, lebih-lebih lagi Seri Paduka Baginda sudi turun mencemar duli untuk memberi bantuan.

“Ingat polis datang hendak tengok keadaan, tetapi bila tengok payung kuning dan ramai-ramai lelaki pakai songkok lilitan putih, rupanya-rupanya ia adalah Agong.

“Saya terkejut kerana Seri Paduka sanggup turun melihat saya dan baginda bertanyakan adakah saya cedera dan menitahkan agar dibawa ke hospital jika cedera,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Dalam pada itu, Jasliza, 38, yang juga Pegawai Komunikasi Korporat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mengambil berat terhadapnya atas insiden berkenaan.

“Walaupun tidak sampai lima minit, tetapi saat baginda memberikan bantuan adalah pengalaman manis.

“Alhamdulillah saya baru selesai segala urusan termasuk buat laporan polis dan insurans. Malah pegawai istana juga menelefon saya untuk tanya laporan susulan kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran dalam Instagram istana_negara memaklumkan Seri Paduka turun dari kenderaan rasmi untuk memberi bantuan kepada mangsa.

“Alhamdulillah pemandu kenderaan terbabit, Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Seri Paduka Baginda Tuanku kemudiannya meneruskan perjalanan ke Mesyuarat Pra Kabinet bersama YAB Perdana Menteri di Istana Melawati, Putrajaya. Daulat Tuanku,” maklum akaun Instagram itu hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.