Bung Mokhtar Pelik Mustapa dan MP Lompat Parti Tiada Dalam Senarai SPRM

PETALING JAYA – Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tindakan terpilih dalam langkah terbarunya untuk mendapatkan kembali dana 1MDB yang disalurkan kepada Umno bahagian di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mempertikai bekas pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang lompat parti selepas perubahan kerajaan tahun lalu, mengatakan mereka hilang daripada senarai walaupun menerima wang daripada Najib Razak.

“Mengapa hanya 41 orang? Bagaimana dengan yang selebihnya?” soal Bung, merujuk individu dan entiti yang SPRM dakwa menerima wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Minggu lepas, SPRM mengumumkan saman pelucuthakan sivil terhadap 41 individu, mendesak mereka mengembalikan wang itu untuk mengelak tindakan di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram.

Badan anti rasuah itu juga berkata sebahagian besar daripada RM270 juta itu disalurkan ke bahagian dan cawangan Umno, termasuk Umno Sabah.

Bung mempersoalkan ketiadaan Mustapa Mohamad, bekas ketua Umno Kelantan yang menyertai PPBM tahun lepas, yang tiada dalam senarai yang ditunjukkan SPRM.

Bung berkata Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri di bawah pentadbiran Najib, sebelum ini dipanggil SPRM berhubung dana 1MDB yang dikatakan diberikan kepada Umno Kelantan.

Bung berkata Upko yang berpengkalan di Sabah, yang memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) selepas kekalahan BN di negeri itu tahun lepas, juga hilang daripada senarai SPRM.

Akaun bank parti itu dibekukan sejak tahun lepas sebagai sebahagian daripada penyiasatan 1MDB.

“Bagi saya, ini adalah pendakwaan terpilih,” kata Bung kepada FMT. “Adakah SPRM tidak cuba mendapatkan dana daripada mereka? Saya harap mereka boleh memperjelaskan ini dan memaklumkan orang ramai.”- FMT

Berita Berkaitan;-

Bank Sahkan Kepada Mahkamah Bukan Dana 1MDB, Tapi Wang Dari Arab Saudi – Najib

Peguam Negara Mohon Tangguh Sekali Lagi Perbicaraan Najib dan 1MDB

Tuduh Najib Perompak, Penyamun dan Isu 1MDB Sudah Tidak Relevan – AMK PKR

Dana Untuk UMNO dan BN Tiada Kaitan Dengan 1MDB – Najib

Sebelum Ini Mahathir Kata Saya Curi Duit 1MDB, Kini Mahathir Kata Tiada Bukti – Najib

“Kalau PH Dedah Dokumen Perjanjian IPIC-1MDB, Maka Terbukti Najib Bukan Penyamun”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.